Tiada keperluan tutup hospital Pulau Pinang dan Sarawak, kata Dr Noor Hisham


Chan Kok Leong

Tiada keperluan untuk menutup hospital di Pulau Pinang dan Sarawak kerana pekerja kesihatan yang dijangkiti Covid-19 sudah diasingkan. – Gambar fail The Malaysian Insight, 29 April, 2020.

TIADA keperluan untuk menutup hospital di Pulau Pinang dan Sarawak kerana pekerja kesihatan yang dijangkiti Covid-19 sudah diasingkan, kata Dr Noor Hisham Abdullah.

“Apabila kakitangan diuji positif, kami akan melakukan pengesanan kes aktif di mana kenalan rapat dan ahli keluarga akan disaring dan diuji. 

“Mereka yang diuji positif akan diasingkan,” kata Ketua Pengarah Kesihatan pada taklimat harian Covid-19 di Putrajaya hari ini.  

Beliau berkata kawasan hospital di mana sering dikunjungi kakitangan juga akan dibersihkan dan dibasmi kuman.

“Sebagai contoh Hospital Teluk Intan. Kami baru sahaja memindahkan operasi jabatan ke kawasan lain dan membersihkan seluruh jabatan dan kawasan awam lain.

“Tidak perlu menutup seluruh hospital kerana virus itu datang dari komuniti dan bukan dari hospital itu sendiri,” katanya.

Sehingga kini tidak ada pekerja kesihatan yang dijangkiti virus itu kerana bertugas di wad ICU atau Covid-19, kata Dr Noor Hisham.

Beliau berkata satu petunjuk sama ada seluruh kawasan akan ditutup atau tidak adalah jika terdapat peningkatan kes yang mana tidak berlaku dalam kes petugas kesihatan.

Dr Noor Hisham menjawab keprihatinan orang ramai mengenai sama ada kedua-dua hospital perlu ditutup kerana beberapa kakitangannya positif Covid-19. 

Awal hari ini kerajaan Sarawak menolak permintaan agar Hospital Umum Sarawak  diletakkan di bawah perintah pengurungan selepas kira-kira 50 kakitangan kesihatannya diuji positif Covid-19. – Bernama, 29 April, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen