Sekolah tidak mungkin dibuka semula sebaik PKP tamat, kata KP Kesihatan


Chan Kok Leong

Kanak-kanak sekitar Gombak Selangor bermain di luar kawasan rumah mereka semasa tempoh perintah kawalan pergerakan. Pembukaan semula sekolah tidak mungkin berlaku selepas PKP fasa 4 berakhir. – Gambar fail The Malaysian Insight, 29 April, 2020.

PEMBUKAAN semula sekolah tidak mungkin berlaku selepas perintah kawalan pergerakan (PKP) fasa 4 berakhir pada 12 Mei kerana tumpuan diberikan kepada sektor ekonomi, kata Kementerian Kesihatan.

“Kami cadangkan untuk mulakan sektor ekonomi terlebih dahulu.

“Sektor sosial dan pendidikan akan dilihat kemudian. Biar sektor ekonomi beroperasi dahulu dan dipantau selama dua hingga empat minggu sebelum kita dapat memutuskan untuk sektor sosial dan pendidikan,” kata Dr Noor Hisham Abdullah pada taklimat harian Covid-19 di Putrajaya hari ini.  

Noor Hisham menjawab soalan bila sekolah akan dibuka semula berikutan kelonggaran sekatan pada sektor ekonomi hari ini.

Hari ini menandakan minggu keenam atau permulaan fasa keempat PKP yang bermula pada 18 Mac.

Semalam Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri berkata perniagaan tidak penting yang dibenarkan beroperasi pada tempoh PKP sebelum ini akan dibenarkan beroperasi pada kapasiti 100% mulai hari ini.

Antara industri terlibat ialah sektor pembuatan dan pembinaan.

Menurut kerajaan pihaknya masih mengkaji prosedur operasi standard (SOP) untuk sektor lain. – 29 April, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen