Senaman awam akan dibenarkan tak lama lagi, kata Dr Noor Hisham


Chan Kok Leong

Berjalan dan joging di taman awam akan dibenarkan tak lama lagi, SOP sedang dirangka, kata Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham. – Gambar fail The Malaysian Insight, 29 April, 2020.

KERAJAAN akan mengumumkan langkah kelonggaran untuk senaman di ruang awam “tidak lama lagi”, kata Dr Noor Hisham Abdullah.

“Kita sedang mempertimbangkan melonggarkan senaman kontak tidak rapat dengan syarat garis panduan seperti penjarakan sosial dan mengelak himpunan besar dipatuhi,” kata ketua pengarah kesihatan itu pada sidang media perkembangan Covid-19 harian di Putrajaya, hari ini.

Dr Noor Hisham berkata demikian ketika menjawab soalan media sama ada Kementerian Kesihatan akan menarik balik sekatan ke atas senaman awam seperti joging dan berjalan di ruang awam seperti taman ketika Malaysia mula memasuki fasa pemulihan hari ini.

Tidak seperti negara lain seperti Britain, Australia dan Singapura, Malaysia mengenakan sekatan penuh ke atas senaman di ruang awam apabila perintah kawalan pergerakan mula dikuatkuasa pada 18 Mac lalu.

Di Singapura misalnya, orang ramai masih boleh berjoging dengan syarat mengekalkan jarak 10m dengan orang lain.

Tetapi di Malaysia, mereka yang keluar berjoging dianggap ingkar PKP seperti kes 11 orang di Mont Kiara yang didenda RM1,000 seorang kerana keluar berjoging di kawasan itu pada 31 Mac lepas.

Dr Noor Hisham juga mendedahkan kerajaan sedang menyemak prosedur operasi standard (SOP) untuk sektor perkhidmatan.

“Kita dalam proses meneliti SOP setiap sektor. Satu pengumuman akan dibuat tidak lama lagi,” katanya.

Beliau bagaimanapun tidak mendedahkan butiran tarikh SOP untuk senaman dan sektor itu akan diumumkan.

Semalam, kerajaan melonggarkan beberapa sekatan dengan membenarkan sektor ekonomi terpilih beroperasi sepenuhnya bermula hari ini.

Bagaimanapun, sektor tersebut masih perlu mematuhi garis panduan kesihatan seperti penjarakan sosial dan langkah kebersihan.

Kerajaan juga membenarkan dua orang daripada satu isi rumah keluar membeli barangan dan perkhidmatan penting. Sebelum ini, hanya seorang setiap rumah dibenarkan keluar.

PKP yang mula dikuatkuasa 18 Mac lalu kini dilanjutkan sehingga 12 Mei.

Malaysia melaporkan 94 kes baharu hari ini, manakala 55 pesakit lagi pulih membawa kepada jumlah kes pulih seramai 4,087 orang atau 68.75% daripada jumlah keseluruhan kes. – 29 April, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen