KABINET dan Majlis Keselamatan Negara akan meneliti prosedur operasi standard (SOP) terlebih dahulu sebelum memutuskan untuk membenarkan pusat jagaan kanak-kanak dan masjid beroperasi di bawah fasa keempat perintah kawalan pergerakan, kata Menteri Kanan Ismail Sabri Yaakob hari ini.
Menteri Pertahanan berkata perbincangan menyeluruh dengan kementerian berkaitan akan dibuat pagi esok.
“Kabinet akan membincangkan dan perkara itu akan dibawa ke perhatian Majlis Keselamatan Negara sebelum SOP dapat disiapkan.
“Esok akan ada pertemuan dengan kementerian berkaitan dan saya harap dapat membentangkan hasilnya pada Jumaat,” katanya.
Semalam Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Mohamed Azmin Ali berkata beberapa sektor ekonomi yang dibenarkan beroperasi pada kapasiti terhad selama tiga fasa pertama PKP akan dibenarkan bekerja dengan kapasiti penuh.
Bagaimanapun syarikat wajib mematuhi prosedur termasuk penjarakan sosial pekerja dan langkah-langkah kebersihan.
Kerajaan juga membenarkan dua orang daripada sebuah keluarga keluar membeli barang dan perkhidmatan penting.
Sebelum ini hanya ketua isi rumah yang dibenarkan keluar.
PKP yang dikuatkuasakan pada 18 Mac dilanjutkan sehingga 12 Mei ini. – 29 April, 2020.
Komen