Keluarga gembira pelajar pulang selepas terkandas PKP


Diyana Ibrahim

Hampir 6,000 pelajar pulang ke kampung masing-masing dalam tempoh 48 jam sejak pergerakan yang pertama pada Isnin malam, melibatkan pusat pengajian tinggi awam dan swasta. – Gambar MKN, 29 April, 2020.

AHLI keluarga pelajar universiti yang terkandas sejak perintah kawalan pergerakan (PKP) dikuat kuasa, lega dan gembira anak-anak mereka dapat pulang, terutamanya menjelang hari raya tiga minggu lagi.

Hampir 6,000 pelajar pulang ke kampung masing-masing dalam tempoh 48 jam sejak pergerakan yang pertama pada Isnin malam, melibatkan pusat pengajian tinggi awam dan swasta, berdasarkan data yang dikeluarkan oleh Putrajaya.

Nor Shuhada Ramli, 30, dari Sungai Petani Kedah berkata kebenaran membawa pelajar pulang mengakhiri kerisauan ahli keluarga yang bimbang anak saudaranya terpaksa tinggal di kampus sehingga selepas raya, jika PKP dilanjutkan lagi.

“Alhamdullilah, syukur, anak saudara saya dapat pulang. Dapat bersama setelah sebulan lebih PKP terlaksana,” katanya kepada The Malaysian Insight.

Anak saudarannya, Nur Alfiah Husna Shamsul Azmal, siswi Universiti Kebangsaan Malaysia, adalah antara 1,128 pelajar kumpulan pertama yang pulang pada Isnin malam.

Beliau tiba kira-kira 6.10 petang di Ibu Pejabat Polis Daerah Kuala Muda semalam, disambut ibu saudaranya, selepas terkandas 41 hari selama PKP berjalan.

Pada Jumaat lalu, menteri kanan keselamatan Ismail Sabri Yaakob berkata 53,000 atau 85% pelajar IPTA dan IPTS yang terkandas semasa PKP dibenarkan pulang secara berperingkat bermula Isnin minggu ini.

Pergerakan mereka ditetapkan dengan tatacara khusus, antaranya mengekal jarak termasuk semasa di dalam bas sehingga menjadikan sebuah bas yang muat 40 penumpang hanya membawa separuh kapasiti.

Perjalanan yang mencabar, tapi berbaloi

Sementara itu Nur Alfiah berkata perjalanannya pulang ke kampung di bawah prosedur yang ditetapkan sangat mencabar kerana proses dan peraturan ketat yang perlu diikuti.

Namun baginya, ia berbaloi kerana dapat melihat wajah ahli keluarga.

Pelajar jurusan Ekonomi dan Pengurusan berkata antara prosedurnya ialah mereka perlu menjalani saringan kesihatan sebelum menaiki bas serta menjaga jarak semasa menunggu dan di dalam bas.

Mereka juga berulang kali terpaksa melalui proses nyah cemar bagi tujuan pencegahan dan keselamatan, katanya.

“Semasa dalam proses perjalanan pulang di Sungai Petani banyak penjagaan rapi dan kawalan ketat dilaksanakan.

“Menjaga jarak tidak hanya melibatkan diri kami saja bahkan bag pun perlu dijarakkan bagi tujuan nyah cemar sebanyak dua kali. Kasut kami juga perlu dinyah cemar.

“Alhamdullilah, perjalanan kami semua selamat,” katanya.

Pengalaman sama turut dikongsi pelajar UKM Mohamad ‘Awadhullah Ahmad, 22, yang mengaku gembira dapat pulang ke rumahnya di Kepala Batas, Pulau Pinang namun pengalaman balik kampung semasa PKP amat mendebarkan.

Katanya, proses saringan yang perlu dilalui memakan masa yang sangat lama dan ketat sebelum mereka dapat menaiki bas.

“Bas ambil dari kolej dalam 9.15 malam kemudian kami berkumpul di dewan sampai jam 11.30 malam, barulah boleh menaiki bas. Sampai (ke destinasi) dalam jam 3.30 pagi,” katanya.

Pelajar jurusan pengajian Islam berkata mereka kini perlu menjalani proses kuarantin di rumah selama 14 hari.

“Reaksi ibu bapa sudah tentu sangat gembira tapi kami diarahkan tidak bersalam dengan ibu bapa, beg juga perlu letak di bonet dan saya kena duduk di belakang.

“Bila sampai rumah saya kena terus mandi dan kuarantin diri selama 14,” katanya yang mahu meluangkan masa sebaik mungkin bersama keluarga selepas habis tempoh kuarantin.

Penghantaran  pulang pelajar pada Isnin turut melibatkan seramai 11 pelajar dari Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), kampus Pandan Indah yang pulang ke Kedah dan Pulau Pinang.

Antaranya ialah pelajar perubatan Sharifah Nahidhah Syed Ibrahim, 22, dari Kuala Muda, Kedah, yang bersyukur doanya dan rakan yang lain termakbul untuk dapat pulang ke rumah.

Sementara itu, bagi pelajar yang tinggal di Sabah dan Sarawak, mereka kini menunggu dengan sabar giliran untuk pulang yang dijangka bermula seawal Jumaat ini.

Pelajar UKM Muhammad Adib Ahmad Fauzi, 20, dari Miri berkata dia dan rakannya ketika ini menunggu pengumuman dari kerajaan.

“Saya dah isi borang dan setakat ini kami masih menunggu… mungkin 1 Mei ini tapi apa pun saya dan rakan sudah mula bersiap mengemas barang,” kata pelajar Kejuruteraan Perisian Teknologi Maklumat itu. – 29 April, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen