KUALA Lumpur Performing Arts Centre (klpac), antara pusat seni persembahan terkenal di Malaysia, mungkin tidak akan kembali bangkit sepenuhnya kesan sekatan perintah kawalan pergerakan (PKP), kata pengasasnya Joe Hasham dan Faridah Merican.
Ia sudah menanggung rugi lebih RM600,000 selepas berpuluh-puluh persembahan dibatal atau ditangguh sejak PKP bermula pada 18 Mac lalu. Sekatan itu dilanjutkan untuk dua minggu lagi mulai hari ini sehingga 12 Mei.
Dalam tempoh satu hujung selepas pengumuman lanjutan fasa ketiga PKP, 27 persembahan yang dibatalkan di klpac bertambah menjadi 43.
Dalam tempoh sama, panggung yang dibangunkan sejak 15 tahun lalu itu kerugian yang dipikul meningkat daripada RM519,789 kepada RM633,900 setakat 13 April.
Untuk meringan beban kewangan, klpac yang tidak menerima dana kerajaan melancarkan kutipan sumbangan melalui kempen #saveyourseat, yang memberi peluang kepada orang ramai menempah tempat duduk serendah RM50.
Joe dan Faridah memberitahu The Malaysian Insight, kempen itu sudah mengumpulkan dana lebih kurang RM62,200.
“Kita lancar kempen ini pada 7 April. Setakat ini, sambutannya memberangsangkan walaupun kita mengharapkan lebih banyak sokongan.
“Sehingga 25 April, 67% daripada tempat duduk sudah ditempah,” kata mereka.
Bagaimanapun, Joe dan Faridah mengaku kalau semua tempat duduk habis ditempah sekali pun, ia masih belum dapat menampung kerugian atau keperluan pusat seni itu.
Pada masa ini, kakitangannya secara sukarela dikurangkan gaji, purata 20%.
Joe dan Faridah juga memberitahu klpac sedang berurusan dengan beberapa pihak yang diharapkan dapat membantu, termasuk kerajaan, syarikat serta orang awam.

“Kami sudah menyerahkan tiga laporan seperti yang diminta oleh Jabatan Kebudayaan dan Kesenian yang menawarkan bantuan pada 17 Mac lalu. Setakat ini belum ada khabar berita.
“Kalau ada dana pun untuk mengharungi keadaan sekarang, dana itu tentunya terpaksa dipakai untuk penyelenggaraan,” kata mereka.
Penyelenggaran adalah antara aspek yang tidak boleh diabaikan kerana peralatan teknikal mungkin rosak atau bermasalah sekiranya dibiarkan begitu saja.
Apabila PKP ditarik balik nanti, klpac merancang menganjurkan pertunjukan kecil-kecilan dengan peraturan ketat yang ditetapkan.
“Kami perlu menimbang keselamatan mereka yang terlibat serta penonton. Selepas PKP nanti masih ada peraturan untuk menjaga jarak.
“Mujur kita ada ruang yang cukup di klpac, di dalam dan di luar. Panggung dengan 500 kerusi boleh jadi untuk 250 penonton; panggung dengan 200 kerusi boleh jadi 100.”
Bagaimanapun mereka bukan saja menanggung kesan daripada pembatalan atau penangguhan pertunjukan, tetapi juga sewa panggung untuk majlis keramaian.
“Tempahan sehingga Oktober batal, bermakna setahun ini boleh dikatakan habis,” kata mereka.
Dengan purata 100 hingga 150 pertunjukan setahun dengan penonton lebih 80,000, klpac mengutip lebih kurang RM3.3 juta setahun pada purata harga tiket RM38. Kos operasinya setahun bagaimanapun dianggarkan kira-kira RM4.4 juta.
Sejak panggung di Sentul, Kuala Lumpur itu dibuka kepada umum pada 2005, ia tidak menerima dana daripada kerajaan. – 30 April, 2020.
Komen