Bagi penghuni PPR, miliki rumah hanya impian


Looi Sue-Chern

SURIRUMAH N. Maligah tergelak ketika ditanya adakah keluarganya merancang untuk berpindah keluar dari rumah perumahan awam mereka yang sesak di George Town, Pulau Pinang ke rumah lebih besar dan cantik.

Keluarganya, satu dalam ribuan penghuni yang tinggal di 102,896 unit program perumahan rakyat milik kerajaan atau PPR di seluruh negara.

Bagi mereka, idea memiliki rumah lebih cantik umpama membina istana di kayangan.

“Kami tidak pernah terfikir. Kami betul-betul tidak mampu, kami tidak ada simpanan,” kata ibu anak tiga yang semuanya masih bersekolah berusia 11, sembilan dan lima tahun.

Suaminya berusia 42 tahun seorang diri mencari nafkah untuk keluarga dengan pendapatan RM1,300 sebulan sebagai penghantar di sebuah syarikat bekalan perkakasan. Selain pasangan itu dan anak mereka, ibu Maligah yang sudah tua juga tinggal bersama mereka di rumah pangsa Jalan Sungai.

Mereka yang tinggal di flet milik kerajaan atau pihak berkuasa tempatan di Pulau Pinang hanya perlu membayar RM100 sebulan sebagai sewa. Ia hanya layak diduduki bagi pendapatan isi rumah RM1,500 ke bawah.

Dengan pendapatan serendah itu, keluarga ini hendak cukup duit untuk perbelanjaan makanan dan barangan rumah serta keperluan sekolah pun payah. Kebanyakannya tidak ada simpanan dan tidak layak membuat pinjaman bank.

Dalam laporan berita Ogos lalu, exco perumahan negeri Jagdeep Singh Deo berkata terdapat 2,370 unit PPR di Pulau Pinang sementara 320 daripadanya kosong.

Rumah di Pulau Pinang memang diketahui mahal harganya. Dalam buletin suku tahunan baru-baru ini,  Bank Negara Malaysia berkata harga hartanah di negeri itu “sangat tidak mampu dibeli” kerana ketidakpadanan harga rumah dan pendapatan isi rumah.

Kerajaan negeri mengenakan harga maksimum RM300,000 untuk rumah mampu milik di bahagian pulau, dan RM250,000 di tanah besar.

Sementara itu, rumah kos rendah berharga RM42,000 dan rumah kos sederhana RM72,500.

Pada September, Pengerusi Majlis Tindakan Persekutuan Pulau Pinang Zainal Abidin Osman dilaporkan berkata 16,297 unit akan dibina menerusi skim Perumahan 1Malaysia (PR1MA) di enam lokasi di negeri itu.

Rumah PR1MA berharga antara RM100,000 dan RM400,000, dan hanya layak untuk pembeli rumah pertama dengan pendapatan isi rumah antara RM2,500 dan RM15,000.

Impian lain

Tetapi rumah ini masih juga tidak mampu dicapai untuk mereka yang tinggal di PPR seperti ibu tunggal Mariah Abdul Ghani, 50, yang tinggal di flet PPR Ampang Jajar di Butterworth.

Semua pendapatannya yang bekerja sebagai pekerja pembersihan dihabiskan untuk anak bongsunya yang masih di sekolah menengah.

Mariah memperoleh RM1,000 sebulan. Dia membesarkan tiga anak lelaki bersendirian sejak kematian suaminya 11 tahun lalu ketika anaknya yang bongsu hanya baru berusia lima bulan.

Sering berdepan masalah kewangan, dua anak lelakinya kini berusia 25 dan 20 tahun, tercicir dari persekolahan sejak tingkatan dua.

“Harapan dan impian saya hanya pada yang bongsu. Tidak banyak yang boleh saya lakukan untuk anak-anak. Mereka berdua kerja di kilang roti dan bela hidup sendiri.

“Keutamaan saya kini untuk memastikan adik bongsu mereka terima pendidikan sempurna dan masa depan lebih baik,” katanya.

Dengan gaji sekecil itu, Mariah tidak mempunyai simpanan. Dia tidak mampu membayar sewa lebih tinggi di tempat lain atau mendapatkan pinjaman bank untuk membeli rumah.

Malah hingga sekarang, dia bergelut dengan kesukaran untuk membayar perbelanjaan persekolahan anak. Separuh gajinya untuk makanan dan perbelanjaan rumah sementara bakinya untuk sewa flat, bil utiliti, tambang bas sekolah, petrol dan keperluan lain.

Mariah tidak dapat bantuan kebajikan sebagai ibu tunggal sejak dua anak lelakinya dewasa. Dia bimbang tentang wang untuk membeli baju seragam baharu anaknya dan kelas tambahan bagi tahun depan.

“Dia akan duduki UPSR (Ujian Pencapaian Sekolah Rendah) tahun depan. Akan ada kelas tambahan di sekolah. Maknanya perbelanjaan akan bertambah.

“Dia pun tidak dapat bantuan, jadi saya kena cari duit untuk itu. Saya tidak minta banyak, tetapi saya harap dia akan dapat bantuan kerajaan untuk pendidikannya.”

Mariah mendapat sedikit wang tambahan dengan bangunan seawal 2 pagi untuk goreng nuget dan cekodok untuk gerai milik seorang penduduk lain di depan flet.

“Saya boleh dapat RM400 hingga RM500 hasil nuget dan cekodok itu tetapi itu tidak termasuk kos. Tidak banyak untung bila harga tepung, minyak masak dan pisang semakin mahal.

“Saya juga kutip sampah untuk kitar semula. Dapatlah saya RM12. Saya tidak ada pilihan,

“Jadi saya tidak terfikir untuk pindah keluar dari flet ini. Bukannya tempat ini hebat, tetapi ini saja yang saya mampu,” kata Mariah.

Terpulang pada anak

Seorang tukang kayu yang sudah bersara dan hanya mahu dikenali sebagai Tan berkata dia selalu terfikir untuk pindah keluar dari flet itu tetapi impiannya itu kini hanya boleh dipenuhi anak-anaknya.

Lelaki berusia 58 tahun itu tinggal di PPR Jalan Sungai selama 17 tahun bersama isterinya. Tiga anaknya kini bekerja sebagai kerani, tukang masak dan pembantu kilang. Kini, hanya dua anaknya tinggal bersama.

“Jika kami terpaksa menyewa, maka flet ini yang terbaik dengan RM100 sebulan. Lebih murah sewanya, lebih bagus. Di luar sana anda kena bayar RM400, RM500.

“Beli pangsapuri bukannya murah. Kebanyakan yang elok kosnya sekitar RM400,000. Anak-anak saya tidak mampu, mereka pun bukan gaji besar.

“Mungkin satu hari nanti. Buat masa sekarang, kami okay di sini, sudah biasa dengan persekitaran kehidupan di sini. Ia tidaklah teruk sangat,” katanya.

Bagi Rejemah Jaafar, 66, flet PPR Ampang Jajar mungkin akan jadi rumahnya sehingga akhir hayat. Dia sudah tinggal di situ bersama suaminya selama 10 tahun.

“Dulu kami tinggal di kampung di Permatang Pasir tapi rumah itu kini adik saya punya. Jadi kami pindah sini memandangkan tidak mampu sewa yang lain,” katanya kepada The Malaysian Insight.

Ibu kepada lima anak dan 11 cucu itu membuka gerai nasi di luar fletnya bersama suami. Pendapatan mereka kecil untuk terus menampung kehidupan di usia tua.

Berbanding rumah lebih besar, Rejemah mempunyai impian lebih realistik. Dia berharap mendapat bantuan membeli gerai besi tahan karat yang boleh membantu perniagaannya lebih maju.

“Sekarang semua susah. Semua mahal. Sukar untuk keluarga di sini yang berpendapatan rendah.

“Ramai keluarga di sini pendapatan sekitar RM1,000. Bagi mereka hendak bayar RM100 sewa pun susah. Kalau ada rumah harga RM20,000 pun kami tidak mampu,” katanya. – 23 November, 2017.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen