ANWAR Ibrahim masih menaruh harapan untuk menjadi perdana menteri meskipun banyak halangan ditempuhinya sejak memulakan gerakan Reformasi lebih 21 tahun yang lalu.
Dalam satu temubual bersama stesen radio BFM pagi ini, ketua umum Pakatan Harapan (PH) itu bagaimanapun berkata beliau akan tetap “bergerak ke depan” jika ditakdirkan hasratnya itu tidak terlaksana.
“Jika diberi peluang, saya fikir negara ini perlukan pembaharuan dan saya boleh mainkan peranan kecil dalam proses ini,” kata Anwar ketika ditanya mengenai hasrat untuk jadi perdana menteri.
Anwar sepatutnya mengambil alih kuasa perdana menteri dari Dr Mahathir Mohamad tahun ini, namun gagal selepas kerajaan PH runtuh akibat rampasan kuasa pada hujung Februari lalu.
Presiden PKR itu berkata andai ditakdirkan matlamatnya tidak tercapai, beliau akan bersara dari politik dan menjadi seorang profesor.
“Saya perlu jujur. Mungkin ada sedikit kecewa. Tetapi saya fikir Malaysia berhak menjadi negara demokrasi yang matang dan kita perlu wujudkan tanggapan bahawa ahli politik tidak semestinya korup dan angkuh. Tetapi selain daripada itu kita perlu maju ke depan,” katanya.
Sebagai orang yang memulakan gerakan Reformasi, Anwar menyatukan parti-parti pembangkang seperti DAP dan PAS sebagai satu pakatan melawan Barisan Nasional yang memerintah selama 61 tahun. – 29 April, 2020.
Komen
Dimuat naik 6 tahun yang lalu oleh Kamarolzaman Che Abdul Salleh · Ulasan
Dimuat naik 6 tahun yang lalu oleh Kamarolzaman Che Abdul Salleh · Ulasan