HOSPITAL mula mengambil swab daripada mangsa yang meninggal dunia bukan disebabkan Covid-19, terutama dalam kes di mana penyebab kematian mencurigakan, kata sumber yang bekerja dalam bidang kesihatan awam.
“Ya, untuk kes yang sangat mencurigakan,” kata satu sumber kepada The Malaysian Insight.
Sumber lain berkata semua hospital mula melakukan ujian Covid-19 semasa bedah siasat bagi kematian seperti itu.
The Malaysian Insight difahamkan, swab diambil untuk memastikan si mati bebas daripada virus untuk melindungi individu yang menguruskan mayat daripada dijangkiti.
Terdapat juga prosedur yang harus diikuti dalam menguruskan mayat Covid-19.
Ujian pada peringkat bedah siasat juga membolehkan Kementerian Kesihatan memastikan tiada kematian akibat Covid-19 yang terlepas dan semua kematian akibat virus tersebut diambil kira.
Sekurang-kurangnya satu kematian seperti itu berlaku apabila Covid-19 dikesan selepas seorang lelaki tidak dikenali ditemui mati di Kota Kinabalu pada 6 April.
Sampel yang diambil semasa bedah siasat mengesahkan beliau menghidap koronavirus, kata Kementerian Kesihatan dalam satu kenyataan bertarikh 14 April.
Sebelum itu, Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah berkata pada 10 April yang virus itu ditemui di permukaan mayat semasa bedah siasat dilakukan pada mangsa Covid-19.
“Pusat Forensik Negara melakukan bedah siasat dan mendapati virus dikesan berada di permukaan tubuh,” katanya.
Di bawah protokol kementerian bagi pengurusan pengebumian mangsa Covid-19, mayat tidak boleh dikeluarkan daripada beg mayat, walaupun bagi upacara keagamaan atau budaya.
“Apa sahaja urusan hanya boleh dilakukan pada beg mayat,” kata Noor Hisham.
The Malaysian Insight sudah menghubungi Noor Hisham untuk mengesahkan sama ada ujian Covid-19 yang dilakukan semasa bedah siasat kini dijadikan sebagai sebahagian daripada protokol, tetapi belum mendapat sebarang respons. – 29 April, 2020.
Komen