Polis buka 4 kertas siasatan serangan ke atas Rohingya


Alfian Z.M. Tahir

Serangan ke atas komuniti Rohingya tercetus apabila salah seorang pemimpinnya didakwa mengeluarkan kenyataan menuntut kewarganegaraan dan menghina orang Melayu. – Gambar fail The Malaysian Insight, 28 April, 2020.

POLIS membuka empat kertas siasatan berkaitan ancaman atas talian dibuat ke atas pelarian Rohingya di negara ini, kata Menteri Kanan Ismail Sabri Yaakob.

Tambahnya lagi, setakat ini 19 laporan polis terhadap individu dan kumpulan “page” Facebook diterima.

“Empat kertas siasatan dibuka polis dan 19 laporan polis telah diterima,” katanya pada sidang media, hari ini.

Baru-baru ini, aktivis hak Rohingya Tengku Emma Zuriana Tengku Azmi memberitahu The Malaysian Insight yang beliau sudah membuat dua laporan polis selepas menerima ugutan bunuh dan rogol.

Duta Majlis Rohingya Eropah ke Malaysia itu berkata pihak tidak bertanggungjawab juga membocorkan maklumat MyKad dan nombor keretanya di media sosial.

“Mereka kongsi butiran saya dalam talian dan dikongsi lebih 15,000 dalam Facebook. Saya terima panggilan, mesej yang mahu bunuh saya, campak saya dalam laut malah rogol,” katanya.

Beberapa pemimpin Rohingya turut memberitahu The Malaysian Insight yang komuniti itu kini hidup dalam ketakutan selepas serangan kebencian dalam talian.

Serangan itu berlaku selepas seorang pemimpin Rohingya- Zafar Ahmad- didakwa menuntut kewarganegaraan penuh untuk komuniti itu dan mengeluarkan kenyataan menghina orang Melayu di Facebook.

Zafar yang mendakwa menerajui Organisasi Hak Asasi Etnik Rohingya Myanmar (Mehrom) menafikan mengeluarkan kenyataan itu.

Disebabkan serangan terhadap komuniti berkaitan kenyataan itu, gabungan kumpulan Rohingya tampil dengan kenyataan mendakwa Zafar tidak pernah dilantik sebagai ketua Mehrom.

Kenyataan itu antara lain ditandatangani oleh Arakan Watch, Persatuan Hak Asasi untuk Rohingya, Jawatankuasa Etnik Rohingya Arakan, Persatuan Kerjasama Rohingya dan Persatuan Rohingya di Malaysia turut meminta maaf atas kenyataan Zafar.

“Bagi pihak komuniti Rohingya, kami meminta maaf kepada rakyat dan kerajaan Malaysia kerana kenyataan tidak bertanggungjawab dibuat Zafar Ahmed.

“Dia tidak pernah dilantik sebagai presiden organisasi dan kami menentang kenyataan tidak realistik dan tidak bertanggungjawab itu,” katanya.

Menurut UNHCR, setakat Februari 2020, terdapat 178,990 pelarian dan pencari suaka berdaftar di Malaysia.

Lebih daripada 154,000 dari Myanmar, terdiri daripada 101,010 Rohingya, Chin (22,810) dan lain-lain (30,250).

Rohingya ramainya berasal dari Negeri Rakhine di Myanmar. – 28 April, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen