MAJLIS Keselamatan Negara (MKN) dalam peringkat akhir memuktamadkan tatacara (SOP) dan peraturan baharu sekiranya perintah kawalan pergerakan (PKP) dilonggarkan, terutama di kawasan zon hijau iaitu daerah yang tiada kes aktif Covid-19, kata Menteri Kanan Keselamatan Ismail Sabri Yaakob.
Katanya, tatacara baharu itu sedang diteliti bersama Kementerian Kesihatan (KKM) dan pihak Polis Di-Raja Malaysia (PDRM).
“Seperti kita tahu banyak zon sudah diisytiharkan sebagai zon hijau. Kita masih berbincang untuk menyediakan SOP. Jika ada kelonggaran di zon hijau, SOP tetap perlu dipatuhi.
“Pihak MKN dalam peringkat terakhir untuk membentangkan SOP yang lebih lengkap mengenai apa yang boleh dilakukan di zon hijau,” katanya dalam sidang media harian memaklumkan perkembangan penguatkuasaan PKP, yang disiarkan secara langsung melalui televisyen dan Facebook.
“Minggu depan saya ingat kita boleh muktamadkan SOP yang sedang dikaji oleh MKN, KKM dan PDRM,” tambahnya.
Beliau memberikan contoh kemungkinan peraturan lebih longgar bagi kawasan perumahan yang berpagar dan tertutup, yang hanya melibatkan penduduk di kawasan itu.
“Ini semua sedang dirangka oleh MKN, dan kita sedang dapatkan input daripada semua kementerian,” tambahnya.
PKP yang bermula sejak 18 Mac lalu hari ini masuk hari ke-42.
Pada Khamis lepas, Perdana Menteri Muhyiddin Yassin mengumumkan sekali lagi lanjutan PKP untuk dua minggu sehingga 12 Mei.
Sehingga tengah hari semalam, daerah yang dikelaskan sebagai zon hijau meningkat lagi kepada 77 daerah, berbanding 68 daerah kelmarin, manakala 12 daerah masih kekal dalam zon merah.
Berdasarkan data yang dikeluarkan oleh Pusat Kesiapsiagaan dan Tindak Cepat Krisis Kebangsaan (CPRC) KKM, zon merah berkenaan adalah tiga di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, masing-masing dua di Selangor, Sarawak dan Johor sementara satu daerah di Melaka, Negeri Sembilan dan Pahang.
Liga bola sepak
Sementara itu, Ismail berpendapat pertandingan bola sepak Liga Malaysia (Liga M) masih belum boleh lagi dibenarkan.
Katanya, buat masa ini masih terlalu awal untuk dibenarkan, sekiranya PKP dilonggarkan dalam waktu terdekat.
“Setakat ini keputusan masih kekal. Liga bola sepak masih belum kita benarkan,” katanya.
Namun beliau menjelaskan pihak kerajaan sedia menimbang sekiranya ada permohonan rasmi oleh Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) atau Kementerian Belia dan Sukan.
Beberapa persatuan bola sepak negeri sebelum ini mengeluh bakal menanggung rugi akibat penangguhan pertandingan itu dan mencadangkan perlawanan tanpa penonton di tengah penularan pandemik Covid-19. – 28 April, 2020.
Komen