Ahli Parlimen perlu buat ujian Covid-19 sebelum sidang 18 Mei


Chan Kok Leong

222 ahli Parlimen dihendaki menjalani dan melepasi ujian Covid-19 sebelum dibenar bersidang pada 18 Mei ini. – Gambar fail The Malaysian Insight, 28 April, 2020.

SEMUA ahli Parlimen perlu menjalani ujian Covid-19 sebelum dibenarkan hadir persidangan pertama tahun ini yang dijadualkan berlaku pada 18 Mei.

Dalam sepucuk surat dikeluarkan Setiausaha Dewan Rakyat Riduan Rahmat yang dilihat The Malaysian Insight, Speaker Dewan Rakyat Mohamad Ariff Md Yusoff bersetuju untuk mengarahkan semua wakil rakyat menjalani ujian Covid-19 pada 14 dan 15 Mei di Bangunan Parlimen.

“Sekiranya Yang Berhormat gagal menjalani ujian ini atau didapati positif jangkitan Covid-19 hasil daripada ujian tersebut, Yang Berhormat tidak akan dibenarkan untuk menghadiri Istiadat Pembukaan Penggal Parlimen dan Mesyuarat Pertama Penggal Ketiga Parlimen Keempat Belas,” kata Riduan dalam surat itu lagi.

Surat bertarikh 27 April itu berkata semua wakil rakyat “digalakkan” melakukan ujian itu di Parlimen tetapi mereka dibenarkan melakukannya di tempat lain.

“Walau bagaimanapun, sekiranya Yang Berhormat memilih untuk menjalaninya di mana-mana hospital atau klinik kerajaan yang berdekatan, Yang Berhormat perlu mendapatkan surat pengesahan daripada doktor serta ujian ini hendaklah dilakukan dalam tempoh dua atau tiga hari sebelum hari Majlis Istiadar Pembukaan Penggal Parlimen dan Mesyuarat Pertama Penggal Ketiga Parlimen Keempat Belas.”

Riduan turut menyatakan Parlimen tidak akan menanggung kos ujian yang di buat di hospital atau klinik swasta.

Ahli Parlimen Kluang Wong Su Qi yang sudah menjalani ujian pada 17 Mac lalu berkata beliau menerima arahan Parlimen itu pagi tadi.

“Saya harap prosesnya lancar dan pantas kerana terdapat 222 orang ahli Parlimen,” katanya.

Beliau antara beberapa ahli Parlimen yang menjalani ujian sebelum ini selepas menjadi kontak rapat dengan pesakit Covid-19.

Antara ahli Parlimen yang sudah menjalani ujian ialah Mohd Redzuan Yusof dan Dr Mahathir Mohamad daripada Bersatu, Dr Hatta Ramli (Amanah) dan Dr Kelvin Yii dan Andrew Wong daripada DAP.

Dr Yii, Andrew Wong dan Ahli Parlimen Kota Samarahan Rubiah Wang disahkan positif pada Mac dan April dan dirawat di hospital selama beberapa minggu.

Persidangan 18 Mei ini adalah untuk mendengar Titah Diraja dan mendapatkan kelulusan ahli Parlimen untuk pakej rangsangan ekonomi bagi mengurangkan kesan wabak Covid-19.

Persidangan sepatutnya diadakan pada 9 Mac lalu sebelum kejatuhan Pakatan Harapan kerana krisis blok politik, ia ditangguhkan selepas kerajaan Perikatan Nasional berkuasa di Putrajaya.

Wakil rakyat PH banyak kali mendesak Muhyiddin mengadakan sidang Parlimen lebih lama bagi membincangkan pelbagai masalah negara yang bergelut dengan wabak Covid-19 dan kejatuhan harga minyak, dan menuduh perdana menteri itu sengaja menghadkan sidang Parlimen bagi mengelak cabaran dan usul undi tidak percaya dibentangkan terhadapnya. – 28 April, 2020.
 


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen