Veterinar sudah beroperasi sejak mula PKP, bingung dengan kenyataan menteri


Ravin Palanisamy

Perkhidmatan veterinar memang sudah disenaraikan sebagai perkhidmatan perlu sejak PKP fasa pertama bermula 18 Mac lalu. – Gambar fail The Malaysian Insight, 28 April, 2020.

KENYATAAN Menteri Kanan Ismail Sabri Yaakob dua hari lalu yang menyatakan klinik haiwan swasta boleh beroperasi mencetuskan kebingungan kerana perkhidmatan veterinar memang sudah dibenarkan beroperasi sepanjang perintah kawalan pergerakan.

Doktor haiwan yang ditemubual berkata perkhidmatan veterinar memang sudah disenaraikan sebagai perkhidmatan perlu sejak PKP fasa pertama bermula 18 Mac lalu.

Dr Clementer Anthony yang menguruskan sebuah klinik haiwan di Taman Tun Dr Ismail berkata kliniknya masih beroperasi sejak awal PKP dikuatkuasa, tetapi dengan beberapa syarat dan peraturan ditetapkan pekeliling dikeluarkan Jabatan Perkhidmatan Veterinar (DVS).

“Pengumuman menteri kanan bertindih kerana kami sudah mengamalkan perkhidmatan temu janji sejak bermulanya PKP.

“Pekeliling DVS dengan jelas menyatakan yang klinik verterinar dibenarkan beroperasi sejak hari pertama tetapi dalam masa tertentu sahaja,” katanya kepada The Malaysian Insight.

Ahad lalu, Ismail Sabri dalam kenyataan berkata klinik veterinar dibenarkan beroperasi menerusi perkhidmatan temu janji di bawah PKP.

PKP yang kini masuk hari ke-42 dijangka berakhir pada 12 Mei selepas tiga kali dilanjutkan.

Seorang lagi doktor haiwan di klinik di Hartamasa berkata beliau tidak nampak perbezaan dengan kenyataan terbaru Ismail Sabri dengan arahan diterimanya daripada DVS pada permulaan PKP.

Kebanyakan klinik veterinar yang diketahuinya sudah beroperasi dengan mematuhi pekeliling DVS, katanya.

“DVS kata kami boleh beroperasi jika patuh kepada syarat dan peraturan tertentu, seperti singkatkan masa operasi dan perkhidmatan temu janji (bertemu pelanggan).” – 28 April, 2020.

Berita penuh di sini.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen