PENGHUNI kondominium Menara City One berhampiran Jalan Masjid India yang belum menjalani ujian Covid-19 diseru tampil dan diperiksa, kata Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah hari ini.
“Ketika melakukan saringan, kami akan pergi dari apartmen ke apartmen dan memastikan penghuninya berdaftar,” katanya.
“Satu atau dua mungkin tertinggal. Kami menyeru mereka tampil ke depan,” tambahnya semasa taklimat akhbar hariannya hari ini.
Sekumpulan kecil penghuni kondominium tersebut masih belum menjalani ujian Covid-19, hampir sebulan sejak bangunan itu diletakkan di bawah perintah kawalan pergerakan diperketatkan (PKPD) pada 31 Mac, kata ahli jawatankuasa penduduk kepada The Malaysian Insight awal hari ini.
Anggota jawatankuasa itu, yang meminta namanya tidak disebutkan, menyalahkan keadaan itu kerana halangan bahasa, kekurangan komunikasi dan pengumpulan data yang teruk oleh pihak berkuasa.
Namun, beliau berkata hanya sebilangan kecil penghuni yang belum diperiksa, dan menambah bahawa pihak pengurusan sudah mengumpulkan sebagian besar penghuni untuk menjalani ujian pada 23 April, hampir tiga minggu PKPD. – 27 April, 2020.
Komen