Tiada masalah untuk penderma darah lepasi sekatan jalan raya, kata Noor Hisham 


Ragananthini Vethasalam

Penderma darah tiada masalah untuk melepasi sekatan jalan raya dalam tempoh PKP bagi tujuan menderma darah di klinik atau hospital kerajaan.– Gambar fail The Malaysian Insight, 27 April, 2020.

TIADA masalah kepada penderma darah untuk melakukan perjalanan ke kemudahan kesihatan kerajaan bagi menderma darah ketika dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), kata Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah.

Beliau berkata, perkara itu sudah dibincangkan dengan polis dan penderma tidak akan berdepan masalah untuk melepasi sekatan jalan raya.

“Sebaik sahaja kamu ke hospital dan menderma darah, kami akan berikan surat,” katanya pada sidang media harian situasi Covid-19 hari ini.

Beliau turut menggalakkan orang awam tampil menderma darah, dan menambah kini bekalan darah berkurangan 30%.

“Setiap tahun, apabila tiba bulan Ramadan kita akan berdepan kekurangan bekalan darah.

“PKP turut menyumbang kepada pengurangan permintaan darah tidak seperti tahun sebelumnya, hanya sedikit kes kemalangan dan trauma.

“Bagaimanapun, bekalan darah asih diperlukan untuk kes lain,” katanya.

Terdahulu hari ini, Menteri Kanan Ismail Sabri Yaakob berkata, penderma darah dibenarkan melakukan perjalanan ke hospital atau klinik kesihatan untuk mnderma darah dari pukul 10 pagi hingga 10 malam ketika tempoh PKP.

Ini kerana masalah kekurangan bekalan di bank darah,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Noor Hisham berkata sembilan bekas pesakit Covid-19 tampil untuk menderma sampel darah kepada kementerian bagi tujuan penyelidikan.

“Tiga pesakit telah menderma lebih daripada sekali,” katanya.

Sembilan pesakit berkenaan adalah daripada kluster daripada pengerusi UDA, yang menjangkiti 120 individu lain. – 27 April, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen