KEJAYAAN meratakan lengkungan carta jangkitan Covid-19 membantu meningkatkan kapasiti hospital dan kemudahan penjagaan kesihatan untuk menangani lebih banyak pesakit, kata Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah hari ini.
“Hari ini jika kita lihat kapasiti di hospital, kita hanya menggunakan kurang 30% kapasitinya,” katanya kepada wartawan pada sidang media harian hari ini.
Beliau berkata jumlah pesakit Covid-19 di unit rawatan rapi dan intubasi juga semakin berkurangan.
“Ini bermakna kemampuan kita (untuk menangani pesakit) telah ditingkatkan. Itulah sebabnya mengapa kita memerlukan perintah kawalan pergerakan (PKP),” katanya.
Katanya, tiga fasa PKP menjadi faktor penting dalam usaha meratakan lengkungan jangkitan virus dan membantu Malaysia bergerak ke fasa pemulihan.
Namun, sekatan pergerakan tidak akan menghentikan jangkitan, katanya.
“Kita sudah lihat dalam satu minggu terakhir, kita mempunyai kes dua digit,” katanya.
“Kami menjangkakan Covid-19 akan terus berlanjutan dari segi jangkitan tetapi kita perlu mengekang dan mengawal jangkitan dari semasa ke semasa dan dari kawasan ke kawasan selagi kita mampu mengawalnya,” tambahnya.
Noor Hisham juga menegaskan kawalan sempadan yang ketat juga penting dalam membendung penyebaran kes import kerana virus itu kini ditemui di 180 negara.
Setakat ini, terdapat 144 kes positif di kalangan mereka yang kembali ke luar negara.
Malaysia menutup sempadannya kecuali bagi rakyat yang pulang ke tanah air.
“Kita belum ada vaksin. Satu-satunya vaksin yang kita ada adalah tinggal di rumah dan mengamalkan penjarakan sosial. Itu boleh dilakukan oleh semua orang,” katanya.
Noor Hisham berkata, penting untuk mengamalkan langkah berjaga-jaga sehingga vaksin dijumpai, dan menambah prosesnya mungkin lama.
Dalam perkembangan lain, Noor Hisham berkata bekalan peralatan perlindungan diri untuk barisan hadapan mencukupi.
Beliau menambah pemerolehan dan pemantauan tahap stok sedang dilakukan. – 27 April, 2020.
Komen