BEKAS menteri besar Selangor Khalid Ibrahim tidak kisah sekiranya Puncak Niaga Holdings menyamannya sebanyak RM14 bilion berhubung pengambilalihan industri air kerana beliau cuba mempertahankan hak rakyat negeri itu.
Beliau berkata, tindakan syarikat konsesi air itu juga menunjukkan ia mempunyai agenda tersendiri iaitu ingin menaikkan harga daripada apa yang sepatutya dibayar.
“Harga yang kita bayar pada syarikat konsesi air adalah berpatutan kerana bila mereka saman saya itu menunjukkan mereka nak harga yang lebih tinggi saja.
“Saya tidak kisah nak saman. Bagi saya ia untuk negeri, rakyat, kita patut dapat lebih murah daripada itu,” katanya kepada media di Parlimen hari ini.
Beliau berkata demikian mengulas mengenai tindakan Puncak Niaga yang mendakwa Khalid menyalahgunakan kuasa menggunakan alasan pengambilalihan Persekutuan dalam Akta Industri Perkhidmatan Air untuk memaksa syarikat konsesi tersebut.
Selain Khalid, Puncak Niaga juga menamakan Menteri Besar Selangor Mohamed Azmin Ali di dalam samannya. Pengurusan kes itu telah ditetapkan pada 28 November di Mahkamah Tinggi Shah Alam.
Puncak Niaga dalam kenyataanya di Bursa Malaysia mendakwa kerajaan Selangor “bertanggungjawab terhadap perbuatan Khalid dan Azmin”.
Pada 2014, Selangor dan Putrajaya menandatangani memorandum persefahaman yang menyaksikan negeri itu mengambil alih empat syarikat konsesi air yang beroperasi.
Di bawah penstrukturan semula air Selangor, kerajaan negeri mengambil alih aset air yang dimiliki oleh Puncak Niaga, SYABAS dan Konsortium Abass bernilai lebih RM6 bilion.
Bagaimanapun, sehingga kini pengambilalihan Syarikat Pengeluar Air Selangor Sdn Bhd masih belum selesai.
Puncak Niaga menuntut ganti rugi, faedah ganti rugi dan perbezaan kos antara penilaian PNSB Water Sdn Bhd (dahulu dikenali sebagai Puncak Niaga (M) Sdn Bhd dan Syarikat Bekalan Air Selangor Sdn Bhd (SYABAS) pada RM2.08 bilion hingga RM2.35 bilion
Ia termasuk pertimbangan pembelian sebenar pada RM1.55 bilion di bawah perjanjian pembelian saham bertarikh 11 November, 2014 diantara Puncak Niaga dan Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd.
Ia juga menuntut kehilangan peluang perniagaan di dalam dan di luar negara, berjumlah RM13.5 bilion. – 22 November, 2017.
Komen