AHLI Parlimen Cheras Tan Kok Wai diarah keluar daripada sidang Dewan Rakyat oleh Timbalan Speaker Ronald Kiandee ketika penggulungan Rang Undang-Undang Perbekalan Kementerian Wilayah Persekutuan peringkat jawatankuasa hari ini.
Ia susulan daripada protes yang dibuat ahli Parlimen itu terhadap Timbalan Menteri Wilayah Persekutuan Loga Bala Mohan kerana menuduhnya bersekongkol dengan operator judi.
Wakil rakyat DAP itu menjadi berang apabila mendengar tuduhan Loga dan meminta beliau menarik balik kenyataannya.
Loga membuat kenyataan demikian apabila ahli Parlimen pembangkang itu bangun untuk bertanya soalan tambahan.
“Kami semua dapat tahu banyak operator perjudian di Cheras ini guna nama YB,” kata timbalan menteri itu.
Dakwaan Loga itu menyebabkan Tan berang dan mendesak timbalan speaker mengarahkan timbalan menteri itu menarik balik kenyataannya.
“Tarik balik, minta maaf, ini fitnah yang dibuat oleh timbalan menteri,” kata Tan.
Melihat ketegangan itu, Ronald pada awalnya meminta Loga untuk menarik balik kenyataannya.
“Yang Berhormat tarik balik. Yang Berhormat pun tahu sifat seorang ahli Dewan tidak boleh disentuh,” kata Ronald.
Namun Loga enggan berbuat demikian dengan menyatakan ia bukan tuduhan sebaliknya ia merupakan andaian dari luar.
“Saya tak menuduh yang berhormat saya tidak cakap yang berhormat. Kenyataan saya ini diambil dari andaian luar,” katanya.
Ronald kemudiannya menerima penjelasan Loga dan meminta Tan kembali duduk.
Namun wakil rakyat pembangkang itu enggan menurut arahan itu menyebabkan Ronald mengarahkan Tan untuk keluar dari Dewan.
Tan pada sidang media selepas itu berkata, beliau tidak berniat mencabar keputusan timbalan speaker sebaliknya hanya mahukan keadilan kerana dituduh sedemikian.
“Saya anggap tindakan tersebut (tuduhan) tidak bertanggungjawab, fitnah.
“Saya mahu timbalan speaker adil buat keputusan, minta timbalan menteri tarik balik keputusan sebab itu saya berdiri.”
Beliau juga percaya tuduhan Bala mempunyai kaitan menyerangnya kembali kerana mendakwa rakyat melabelkan Menteri Wilayah Persekutuan Tengku Adnan Tengku Mansor sebagai seorang yang korup semasa perbahasannya.
“Saya kata begitu, sebab dalam perbahasan saya mendedahkan menteri tersebut telah menjual lebih 200 ekar tanah dalam Kuala Lumpur sejak beliau memegang jawatan menteri itu pada 2009 sampai sekarang.
“Maklumat itu saya ambil saya kumpul melalui jawapan lisan yang saya dapat di Parlimen.
“Kerana itu saya meminta penjelasan menteri di Parlimen mengenai skandal tanah Dewan Bandaraya Kuala Lumpur.” – 22 November, 2017.
Komen