AHLI Parlimen pembangkang mempertikaikan nilai bantuan makanan yang diagihkan oleh Putrajaya kepada golongan miskin yang terjejas akibat pandemik Covid-19.
Mereka berkata bungkusan makanan yang diagihkan kerajaan bernilai lebih rendah daripada RM100, nilai yang diuar-uarkan kerajaan. Ia tetap disuarakan walaupun Menteri Kanan Ismail Sabri Yaakob menjelaskan pek makanan bernilai rendah itu disumbangkan oleh penderma untuk diedarkan melalui saluran kerajaan.
Ismail berkata bungkusan makanan kerajaan berharga RM100 setiap satu.
Ahli Parlimen Pakatan Harapan (PH) juga berkata kerajaan harus lebih telus dalam soal pengagihan bantuan.
Ahli Parlimen Lembah Pantai Fahmi Fadzil berkata setakat ini beliau menerima 250 bungkus makanan untuk kawasannya dan harganya lebih kurang RM85 dan bukannya RM100.
Fahmi berkata beliau diberitahu baki nilai itu diambil untuk kos pembungkusan dan pengangkutan.
“Saya menerima 250 bungkus makanan dan masing-masing bernilai sekitar RM85. Saya tidak diberitahu apa yang berlaku dengan baki nilai itu.
“Saya diberitahu oleh Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) pembungkusan dan pengangkutan menjadikannya RM85 dan bukan RM100,” katanya kepada The Malaysian Insight.
Beliau berkata tidak efisien dan tidak wajar untuk mengurangkan kos daripada anggaran bantuan makanan, sambil menunjukkan ia akan menelan belanja RM3.3 juta jika RM15 diambil daripada setiap bungkusan.
Fahmi menggesa kerajaan mengadakan sidang khas Parlimen supaya ahli Parlimen pembangkang mendapat jawapan yang jelas daripada Menteri Pembangunan Wanita dan Keluarga Rina Harun yang bertanggungjawab dalam pengagihan bantuan makanan tersebut.
“Mereka seharusnya memberikan 1,000 bungkus makanan ke 222 kawasan Parlimen dan setiap bungkus bernilai RM100 seperti dilaporkan sebelumnya.
“Itu bererti sekitar 15% atau RM3.3 juta daripada RM22.2 juta akan digunakan untuk pengangkutan, tetapi saya tidak tahu kenapa sangat mahal.
“Inilah sebabnya mengapa ahli Parlimen merasa sangat penting mengadakan sesi khas Parlimen agar kita dapat mengajukan pertanyaan begini dan tidak mendapat kenyataan yang membingungkan oleh menteri berlainan, sedangkan menteri sebenar yang bertanggung jawab adalah Rina Harun,” katanya.

Putrajaya menjanjikan 1,000 bungkusan makanan untuk setiap kawasan bagi meringankan keadaan isi rumah golongan miskin semasa Perintah Kawalan Pergerakan bagi mengekang penularan Covid-19.
Menurut Fahmi, terdapat dua jenis bantuan makanan yang diberikan oleh kerajaan – 1,000 bungkus makanan daripada Kementerian Kewangan bernilai RM100 untuk semua ahli Parlimen dan 1,000 bungkus makanan daripada Badan Pengurusan Bencana Nasional (Nadma).
Ahli Parlimen Petaling Jaya Maria Chin Abdullah berkata beliau menerima 137 bungkus makanan bernilai RM50, yang dipercayai daripada Nadma.
Beliau berkata kerajaan perlu lebih jelas dan menghindari semua kesukaran jika mereka dapat memberikan ahli Parlimen senarai terperinci mengenai barang dalam bungkusan makanan RM50 dan RM100.
Katanya, Ismail Sabri yang juga menteri pertahanan sepatutnya tidak perlu menjelaskan berhubung barang yang diedarkan, kerana ia perlu dijelaskan oleh Rina kerana beliau menteri yang bertanggungjawab.
“Tidak begitu telus pada masa ini. Mereka harus memberi laporan berapa bungkusan makanan RM50 dan RM100 yang diberikan.
“Jawapannya mesti daripada menteri bertugas (Rina Harun). Dia harus menjawab dan menjelaskan apa yang ada di dalam bungkusan RM50 dan apa yang ada di dalam bungkusan RM100, bukan menteri pertahanan,” kata Chin.
Sementara itu, Ahli Parlimen Batu P Prabakaran berkata beliau menerima 131 bungkusan makanan dari JKM tetapi tidak pasti kategori mana termasuk dalam agihan itu.
Prabakaran mendakwa barang dalam setiap bungkusan itu mungkin bernilai kurang RM35.
Dalam gambar yang dikongsi dengan The Malaysian Insight, ia menunjukkan setiap bungkusan makanan mengandungi beras 5kg, sepaket teh, 6 pek mi segera, sepaket gula, sepaket tepung dan setin sardin.
“Setakat ini saya menerima ini dan semua telah diedarkan. Tidak pasti bila saya akan menerima baki agihan dan bertanya-tanya mengapa mereka tidak dapat mengagihkan 1,000 bungkusan sekali gus,” katanya.
Ahli Parlimen Jelutong RSN Rayer pula berkata beliau tidak memeriksa bantuan makanan yang diberikan dan tidak tahu harganya secara tepat.
Beliau berkata pihaknya menerima 500 bungkus makanan dan mengagihkan bungkusan bantuan itu sebaik saja menerimanya.
Sementara itu, Ahli Parlimen Kulai Teo Nie Ching berkata pihaknya menerima 600 bungkusan makanan dari JKM dan tidak pernah menghadapi masalah dengan bantuan yang diberikan.
Beliau berkata bungkusan yang diterimanya berharga RM100 setiap satu.
Baru-baru ini, akhbar berbahasa Mandarin memetik Ahli Parlimen Rasah Cha Kee Chin berkata jumlah harga runcit semua barang dalam bungkusan makanan yang diberikan di kawasannya hanya RM35, dan bukan RM100.
Cha berkata walaupun memohon 950 bungkusan makanan, beliau hanya menerima 150, walaupun kawasannya berhak mendapat 1,000 dalam senarai kemas kini.
Dalam berdepan situasi ini, wakil rakyat PH terpaksa mencari dana alternatif untuk membantu keluarga yang memerlukan bantuan di kawasan mereka. – 27 April, 2020.
Komen