Bantuan pada asnaf hanya usaha tambahan, kata Ustaz Ebit Lew


Zaim Ibrahim

Ustaz Ebit Lew berkata usahanya hanya memberi bantuan tambahan supaya golongan terjejas dapat meneruskan kehidupan sewaktu PKP. – Gambar The Malaysian Insight, 27 April, 2020.

SEJAK mendapat hidayah pada usia 12 tahun, Ebit Irawan Ibrahim Lew yang lebih dikenali dengan nama Ustaz Ebit Lew giat membantu golongan kurang berkemampuan dan berdakwah  

Pakar motivasi dan penceramah agama itu berkata, usaha itu membawa beliau ke seluruh pelusuk tanah air, termasuk di perkampungan Orang Asli.

Dermawan itu yang menjadi perhatian atas kegiatannya menghulur bantuan dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) berkata, usahanya bukan menandingi peranan mana-mana agensi kerajaan.

Sebaliknya, usahanya itu hanyalah untuk memberi pertolongan tambahan supaya golongan terjejas dapat meneruskan kehidupan sewaktu PKP, kata beliau.

Ebit Lew terkenal sebagai seorang ustaz yang gemar mendekati golongan terpinggir di sekitar Kuala Lumpur seperti golongan transgender dan anak terbiar untuk berdakwah.

“Bermula empat tahun lepas, di sekitar Kuala Lumpur saya pergi ke kelab-kelab malam, bawah jambatan untuk ziarah orang di situ.

“Ia sebahagian hidup saya, saya orang biasa tetapi saya gembira dengan aktiviti ini,” tambahnya ketika ditemui The Malaysian Insight di Pulau Pinang.

Pada waktu itu, beliau sedang mengagihkan sumbangan kepada sebuah keluarga di Pulau Betong di Balik Pulau.

Tanpa sebarang sambutan meriah, beliau melangkah masuk ke rumah yang diziarahinya dengan membimbit barangan asas seperti beras, minyak masak dan gula.

“Makcik nak apa-apa lagi? Pakcik perlu apa-apa lagi tambahan?” itulah antara soalan yang sentiasa ditanya dengan suara lembut dan juga senyuman sewaktu memberi sumbangan.

Sebahagian penerima sudah mengenali Ebit dan ada juga yang tidak mengenalinya sama sekali namun tetap menyambut kehadiran beliau dengan pintu terbuka.

Selain bantuan yang diperlukan, beliau juga akan bertanya mengenai kesusahan yang dialami dan meminta maaf jika bantuan itu belum cukup untuk keluarga tersebut.

Beliau juga sentiasa memberi kata-kata semangat dan nasihat dan mendengar setiap rintihan keluarga itu.

“OK, nanti saya carikan kerusi roda baharu,” katanya kepada satu keluarga yang memerlukan bantuan kerusi roda untuk anak mereka yang Orang Kelainan Upaya (OKU).

Setiap keluarga itu juga diberi bantuan tunai sebagai hadiah tambahan.

Ustaz Ebit Lew melawat sebuah keluarga yang memerlukan bantuan kerusi roda baharu untuk kegunaan anak OKU. – Gambar The Malaysian Insight, 27 April, 2020.

Dana untuk bantuan itu pada mulanya diagihkan daripada hasil perniagaannya dan kemudian apabila ramai yang turut ingin membantu, beliau membuka tabung di bawah nama Pertubuhan Kasih Umat Malaysia.

“Keluarga saya pakcik-pakcik saya dari kaum Cina pun ada bagi, dan kaum Melayu pun ada bagi sumbangan,” katanya.

Tegasnya, beliau tidak mahu usahanya membantu rakyat yang memerlukan itu dibesar-besarkan kerana apa yang dilakukannya sedikit jika dibandingkan dengan bantuan orang lain termasuk kerajaan.

Mualaf itu berkata beliau tidak mendapat apa-apa bayaran untuk sumbangan kebajikan berkenaan dan tidak berhasrat menyaingi usaha kerajaan.

“Cuma buat apa yang saya mampu. Apa saya buat terlalu sedikit berbanding usaha kerajaan dan orang lain.

“Sebelum ini orang jemput saya untuk program ceramah dan motivasi, berbayar, tapi kali ini memang saya niat datang kepada mereka,” katanya ketika mengulas kritikan yang timbul berhubung programnya.

Ia berkaitan satu rakaman video menunjukkan kunjungannya ke pondok kecil dihuni sebuah keluarga besar di Kedah yang tular di media sosial.

Pondok kecil itu dihuni 20 orang daripada tiga generasi – satu pasangan warga emas, 10 anak dan 10 cucu.

Rakaman itu meraih kritikan pengguna media sosial yang mempersoal keberkesanan agensi kerajaan dalam membantu seramai 20 ahli keluarga berkenaan.

Satu pihak lagi mempersoalkan tindakannya menolong keluarga tersebut, yang didakwa sudahpun menerima bantuan sewajarnya daripada kerajaan, dan juga merakam kunjungan berkenaan.

Keluarga itu merupakan penerima bantuan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat dan masjid di kawasan itu, Masjid Al Irfan, di Derga.

Lembaga Kedah Zakat seterusnya mengeluarkan satu kenyataan bahawa, keluarga itu sememangnya penerima zakat dan dibantu sejak 2007.

Mengulas kritikan ituEb, it berkata beliau tidak terkesan dan memaafkan semua orang yang mempersoalkan usahanya memberi bantuan.

“Kita kena maafkan semua orang, berkasih sayang. Jangan dengki kepada sesiapa, tidak kisah parti politik mana, apa warna kulit, dan apa agamanya, kita satu keluarga.

“Dengan ini, Allah yang Maha Baik akan turunkan nikmat yang mencurah-curah,” kata Ebit.

Kecaman yang timbul di media sosial itu amat mengecewakannya sehingga beliau mengumumkan untuk menamatkan aktiviti agihan bantuan semasa PKP.

“Atas nasihat setakat ini sahajalah saya berkhidmat membantu semua yang dalam kesusahan. Mereka semua baik-baik melayan saya dengan sangat baik. Terima kasih sangat,” kata Ebit dalam satu kenyataan.

Katanya, beliau membelanjakan berjuta-juta ringgit, termasuk simpanannya sendiri untuk aktiviti kebajikan itu kerana kasihan melihat orang kurang mampu hidup dalam keadaan daif.

“Atas nasihat setakat ini sahajalah saya berkhidmat pada semua secara langsung. Saya cuma akan kirim duit pada orang susah. Saya teruskan dari rumah saja,” katanya.

Dalam satu kenyataan semalam, Bukit Aman mengesahkan Ebit diberi kebenaran untuk menyampaikan sumbangan kepada golongan memerlukan sewaktu PKP.

“Setakat ini tiada kertas siasatan yang dibuka ke atas beliau,” kata polis yang turut mengakui ada terdapat aduan pihak yang tidak senang dengan rakaman video mengenai kegiatan kebajikan Ebit. – 27 April, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen