70% kes Covid-19 berasal dari Indonesia, kata KP Kesihatan


Noel Achariam

Perintah Kawalan Pergerakan menunjukkan kejayaan apabila kes positif Covid-19 dicatatkan semakin menurun. – Gambar fail The Malaysian Insight, 26 April, 2020.

KEMENTERIAN Kesihatan hari ini mengumumkan bahawa lebih daripada 70% kes Covid-19 yang diimport ke dalam negara adalah berasal dari Indonesia.

Ketua Pengarah Kesihatan, Dr Noor Hisham Abdullah mengatakan sejak pelaksanaan kuarantin mandatori terhadap rakyat Malaysia yang kembali dari luar negara di pusat kuarantin, 139 daripada mereka telah diuji positif.

Beliau berkata daripada jumlah itu, 99 orang adalah rakyat Malaysia yang kembali dari Indonesia iaitu 71.22% daripada kes yang diimport di bawah kuarantin.

“Kami telah memeriksa 12,672 orang yang dikuarantin dan 139 daripada mereka diuji positif,” katanya pada sidang media di Putrajaya hari ini.

Dr Noor Hisham berkata, kes lain yang dicatatkan adalah dari United Kingdom di mana 14 orang disahkan, 13 dari Singapura, lima dari Turki, tiga dari Belanda, dua dari Amerika Syarikat dan satu masing-masing dari Thailand, Perancis dan Bangladesh.

Dr Noor Hisham berkata, 100 pesakit telah pulih daripada Covid-19 dan dibenarkan pulang, jumlah yang hampir tiga kali ganda daripada 38 kes baharu sejak 24 jam lalu.

Tidak ada kematian yang dilaporkan akibat Covid-19 hari ini, menjadikan jumlah kematian masih 98 orang.

Dr Noor Hisham turut berkata bahawa 3,862 orang telah sembuh dari virus tersebut, sementara jumlah kes yang terkumpul ketika ini adalah 5,780. – 26 April, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen