SERAMAI 21,466 orang sudah menjalani ujian saringan Covid-19 di kawasan bawah Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD), kata Kementerian Kesihatan.
Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullan berkata daripada jumlah itu, sebanyak 638 kes positif dicatatkan dengan 388 daripadanya melibatkan warga asing dan bakinya penduduk tempatan.
“Di Menara City One ada satu kes baharu menjadikan keseluruhan kes di kawasan itu sebanyak 52.
“Lima kes dicatatkan di Malayan Mansion dengan keseluruhan 12 kes manakala Kuala Lumpur Utara merekodkan sembilan kes dengan jumlah terkumpul 55 kes,” katanya pada sidang media harian perkembangan Covid-19 di Putrajaya hari ini.
Selangor Mansion dan Malayan Mansion yang terletak di kawasan Masjid India dikenakan PKPD bermula 7 April selepas 15 kes Covid-19 dikesan di lokasi itu.
Kira-kira 5,000 penduduk tinggal di 365 unit kediaman di kawasan tersebut.
Di Menara City One, PKPD bermula pada 31 Mac lalu melibatkan 3,200 penduduk dengan 502 unit rumah.
Sebanyak 38 kes baru dilaporkan hari ini menjadikan keseluruhan kes terkumpul adalah sebanyak 5,780 orang.
Kes pulih pula sebanyak 100 kes manakala tiada kematian dicatatkan hari ini. – 26 April, 2020.

Komen