KEMENTERIAN Kesihatan hari ini mengatakan bahawa 341 orang dari 6,229 yang menjalani saringan Covid-19 di madrasah dan tahfiz disahkan telah dijangkiti virus tersebut.
Ini berdasarkan pendekatan yang disasarkan kementerian dalam menjalankan saringan ujian di kawasan-kawasan berisiko tinggi.
Katanya, ujian itu dijalankan ke atas guru, para pelajar dan kakitangan sekolah madrasah dan tahfiz pada 25 April.
“Ini menunjukkan bahawa tindakan segera oleh kerajaan menunjukkan hasil.
“Kami berharap dapat mencegah jangkitan terhadap kumpulan berisiko tinggi. Kami berharap dapat mengenal pasti lebih banyak kes positif dalam masa terdekat kerana kami memberi tumpuan kepada mereka,” katanya pada sidang media di Putrajaya hari ini.
Sebelum ini Dr Noor Hisham berkata bahawa Kementerian Kesihatan sedang meningkatkan ujian saringan di sekolah tahfiz bagi mengekang penularan Covid-19.
Beliau berkata pihaknya menerima maklumat bahawa 8,616 pelajar tahfiz mungkin mempunyai kontak rapat dengan pembawa virus Covid-19.
Dr Noor Hisham berkata, 100 pesakit telah pulih daripada Covid-19 dan dibenarkan pulang, jumlah yang hampir tiga kali ganda daripada 38 kes baharu sejak 24 jam lalu.
Tidak ada kematian yang dilaporkan akibat Covid-19 hari ini, menjadikan jumlah kematian masih 98 orang.
Dr Noor Hisham turut berkata bahawa 3,862 orang telah sembuh dari virus tersebut, sementara jumlah kes yang terkumpul ketika ini adalah 5,780. – 26 April, 2020.
Komen