Hanya 400 rakyat Malaysia di Singapura dibenar pulang setiap hari, kata Ismail Sabri


Alfian Z.M. Tahir

Putrajaya membenarkan 400 rakyat Malaysia untuk pulang ke tanah air pada setiap hari menggunakan Tambak Johor dan Laluan Kedua Malaysia-Singapura. – Gambar fail The Malaysian Insight, 26 April, 2020.

 HANYA 400 rakyat Malaysia dibenarkan pulang ke rumah dari Singapura pada setiap hari menerusi Tambak Johor dan Laluan Kedua Malaysia-Singapura, kata Menteri Kanan Ismail Sabri.

Ismail berkata mereka yang mahu pulang ke tanah air perlu mendapatkan permit masuk daripada Suruhanjaya Tinggi Malaysia di Singapura.

“Bagi mengelakkan kesesakan, hanya 400 rakyat Malaysia dibenarkan (pulang) setiap hari.

“Sepertimana Prosedur Operasi Standard biasa, mereka yang pulang wajib menjalani tempoh kuarantin selama 14 hari.

“Hanya mereka yang memperoleh pas daripada Suruhanjaya Tinggi dibenarkan masuk,” katanya pada sidang media harian di Putrajaya hari ini.

Mengulas lanjut, Ismail berkata Suruhanjaya Tinggi Malaysia sudah menerima lebih 900 permohonan daripada rakyat Malaysia di Singapura yang mahu pulang ke tanah air.

“Mereka yang mahu pulang ke rumah boleh mengisi permohonan menerusi emel [email protected] dan permohonan perlu dibuat dua hari sebelum tarikh pulang.”

Ditanya sekiranya kerajaan mempunyai perancangan untuk menambahbaik polisi pengambilan pekerja asing sedia ada memandangkan sehingga kini terdapat kita-kita 3.3 juta pekerja asing berdokumen, Ismail Sabri berkata perkara itu di bawah tanggungjawab Kementerian Dalam Negeri dan Kementerian Sumber Manusia.

“Jadi kita serahkan kepada kedua-dua kementerian ini untuk perbincangan lanjut. Sekiranya terdapat cadangan untuk menambahbaik polisi, InsyaAllah perkara ini akan dibawa ke kabinet,” katanya yang juga ahli Parlimen Bera.

Rata-rata rakyat negara ini meluahkan kebimbangan berikutan peningkatan kes Covid-19 di Singapura dalam kalangan pekerja asing yang ditempatkan di asrama pekerja di negara itu.

Berikutan itu, Singapura mewartakan 12 daripada 20 asrama yang terjejas sebagai kawasan pengasingan dengan majoriti yang dijangkiti wabak itu dari Bangladesh, India, China dan Myanmar. – 26 April, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen