KLINIK haiwan dibenarkan beroperasi semasa pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) tetapi urusan perlu dilakukan menerusi temu janji, kata Ismail Sabri Yaakob.
Menteri kanan itu berkata Putrajaya bersetuju membenarkan klinik haiwan untuk beroperasi selepas orang ramai menggesa agar haiwan peliharaan mereka mendapatkan rawatan.
“Bagi pencinta haiwan, mereka mencadangkan kepada kerajaan untuk membenarkan haiwan peliharaan mereka mendapatkan bantuan kerajaan dan kerajaan bersetuju.
“Klinik haiwan boleh beroperasi tetapi sebelum berurusan, pemilik perlu mendapatkan temu janji.
“Kita tidak mahu orang ramai berkumpul di klinik untuk menunggu giliran mereka berjumpa doktor,” katanya.
Pada masa sama, Ismail Sabri melahirkan kekecewaan dengan peningkatan penangkapan individu yang ingkar PKP iaitu sebanyak 577 orang semalam, berbanding 386 pada hari sebelumnya.
Katanya, sebelum ini beliau lega kerana jumlah tangkapan terhadap individu yang ingkar PKP menunjukkan penurunan selama tiga hari berturut-turut sehingga Jumaat.
“Tetapi hari semalam kembali meningkat, jadi saya ingin mengingatkan bahawa PKP belum ditamatkan,” tegasnya, sambil mengingatkan bahawa polis akan bertindak tegas kepada sesiapa sahaja yang melanggar PKP.
Beliau berharap pematuhan terhadap PKP itu juga diteruskan di zon hijau walaupun di kawasan berkenaan menunjukkan tiada kes baharu atau tiada lagi kes positif Covid-19, namun arahan terhadap perintah tersebut masih diteruskan seperti biasa. – 26 April, 2020.
Komen