PM dibidas berhubung kenyataan 'rakyat muak dengan politik' 


Selepas sesi wawancara malam tadi, Perdana Menteri Muhyiddin Yassin turut menerima kritikan daripada pengguna media sosial.– Gambar fail The Malaysian Insight, 26 April, 2020.

PERDANA Menteri Muhyiddin Yassin harus berhenti menipu diri sendiri dengan mendakwa bahawa rakyat muak dengan politik, kata pemimpin DAP, P. Ramasamy.

Timbalan ketua menteri Pulau Pinang itu berkata, rakyat Malaysia mungkin muak dengan politik kerana cara Muhyiddin mengambil alih kerajaan persekutuan.

“Beliau harus benar-benar bercakap tentang dirinya sendiri dan bagaimana dia mengambil alih jawatan melalui pakatan rahsia, menjatuhkan kerajaan Pakatan Harapan yang sah  yang mana beliau sendiri adalah sebahagian daripadanya.

“Ya, rakyat Malaysia mungkin muak dengan politik namun tidak sebagaimana yang Muhyiddin fikirkan.

“Dengan pandemik Covid-19, rakyat menjangkakan kerajaan yang berkuasa, iaitu Perikatan Nasional, sama ada pontu belakang atau pintu hadapan, untuk jalankan tugas menangani kesan buruk pandemik,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

“Saya yakin Muhyiddin tidak akan lupa tentang keributan ini dan beliau perlu nyatakan sendiri sama ada majoriti rakyat Malaysia gembira atau tidak dengan perkara itu.

“Bukankah Malaysia muak dengan pengkhianatan Muhyiddin dan kumpulannya yang tidak ragu-ragu untuk mendekati parti politik dan beberapa pemimpin mereka yang banyak terlibat dalam skandal rasuah 1MDB?”

Beliau merujuk kepada kenyataan Muhyiddin dalam wawancara dengan Astro Awani dan RTM semalam yang mana menangani penularan wabak Covid-19 menjadi keutamaan, dan bukannya politik.

“Rakyat sudah muak dan tidak mahu dengar tentang soal politik,” kata perdana menteri.

Tambahnya, sejak menjadi perdana menteri, beliau masih belum fikirkan tentang politik.

Beliau berkata, itu sebabnya beliau tidak pernah menyebut tentang isu politik dalam mana-mana ucapannya.

“Rakyat tidak mahu dengar tentang soal politik sebaliknya hanya mahu tahu apa yang kerajaan lakukan untuk menangani penularan pandemik koronavirus (Covid-19) dan memulihkan semula ekonomi negara.

“Nanti orang kata soal Covid-19 tidak selesai, dia cerita soal parti dia, dia cerita soal gabungan dia, keabsahan dia, ini rakyat tidak berminat,” katanya menjawab soalan dalam sesi wawancara itu. – 26 April, 2020.

Berita penuh di sini. 


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen