RAMAI peniaga memilih pemulangan semula bayaran sewa tapak memandangkan bazar Ramadan dan Aidilfitri dibatalkan di seluruh negara bagi mengekang penularan wabak Covid-19.
Peniaga bazar Aidilfitri di Jalan Raja Laut Mohamad Faizul Hasni, berkata beliau mahu wang sewa itu dipulangkan semula kerana tiada jaminan harga tapak akan kekal jika dibenarkan berniaga tahun depan.
“Kami minta pulang semula wang dari bawa ke depan. Sebab kita masih kena undi semula (tapak) . Dan harga pun setiap tahun berbeza,” katanya kepada The Malaysian Insight.
Peniaga baju raya yang sudah 20 tahun berniaga di Jalan Raja Laut itu berkata sehingga kini Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) masih belum menjelaskan mengenai tempahan tersebut
“Jadi ramai yang mahukan semula wang mereka sebab tidak ada kelebihan apa-apa. Cuma boleh bawa (tempahan) ke depan saja tapi proses sama juga,” kata Mohamad Faizul, 36.
Seorang lagi peniaga bazar Aidilfitri, Wahid berkata beliau sudah menerima bayaran balik sewa tapak tersebut yang diperlukannya sewaktu Perintah Kawalan Pergerakan ini kerana tidak dapat berniaga.
“Kita rasa lebih baik minta semula duit. Sekurang- kurangnya kita boleh guna duit untuk tampung kerugian kerana kita tak dapat berniaga tahun ini,” kata Wahid, 45.
Peniaga yang menjual songkok raya dan capal di bazar Aidilfitri saban tahun itu berkata sudah menerima pemulangan semula wang tapak daripada DBKL.
DBKL memberi pilihan kepada peniaga sama ada untuk mendapatkan semula bayaran sewa atau mengekalkannya sebagai bayaran bazar untuk tahun depan.
Ia susulan keputusan Majlis Keselamatan Negara pada minggu lalu yang melarang penganjuran segala bentuk bazar Ramadan.
Bulan Ramadan bermula pada Jumaat, lima hari sebelum PKP peringkat ketiga berakhir. Pada Khamis, Perdana Menteri Muhyiddin Yassin mengumumkan PKP dilanjutkan ke tahap empat sehingga 12 Mei.
Peniaga yang membayar sewa tapak di kawasan bawah pengurusan kontraktor DBKL pula tidak mendapatkan semula wang deposit tersebut.
Ia melibatkan peniaga di 65 lokasi bazar iftar Ramadan di ibu negara yang diberikan hak oleh DBKL untuk diuruskan penganjur swasta, susulan penyelarasan Kementerian Wilayah Persekutuan tahun lalu.
Melalui penyelarasan itu, DBKL mengambil alih hak penganjuran bazar tradisi di lorong Tuanku Abdul Rahman TAR serta Jalan Masjid India, manakala penganjur diberi hak menganjur bazar juadah.
Kalangan penganjur bazar Ramadan tersebut mahu menyimpan bayaran tersebut untuk penganjuran bazar tahun hadapan untuk mengelak kerugian.

Penganjur bazar di Desa Petaling, Rosli Mohamad berkata mereka tiada masalah untuk membayar balik sebahagian daripadanya jika peniaga membuat bayaran penuh kepadanya.
Rosli yang mengenakan caj sewa tapak sebanyak RM391 berkata beliau memulangkan sebanyak RM150 bagi peniaga yang membuat bayaran penuh kepadanya sebelum ini.
Peniaga yang hanya membuat bayaran deposit sahaja tidak dapat menuntut semula bayaran tersebut, katanya.
“Dari yuran RM391, biasanya mereka bayar deposit RM200. Jadi dari RM200, RM100 telah ditolak untuk bayaran permit DBKL.
“Jadi tinggal RM100 saja dan biasa RM100 ini kita akan tolak caj pengurusan yang kita dah buat awal, macam kos apron, sepanduk, cat petak dan bayar yuran ahli,” katanya.
Beliau yang menguruskan kira-kira 2,000 peniaga itu mendakwa majoriti peniaga di bazarnya memilih untuk tidak mengambil balik wang tersebut untuk dibawa ke tahun berikutnya.
“Kalau yang menentang pun dalam 1% atau 2%, yang lain semua tak kisah. Majoriti yang nak dibawa ke depan mereka peniaga lama dan mereka faham penganjur juga mengeluarkan kos dan tanggung kerugian,” katanya.
Menteri Kanan Keselamatan Ismail Sabri Yaakob pada Selasa lalu menegaskan, penganjur atau pihak berkuasa tempatan perlu memulangkan semula wang deposit kepada peniaga ekoran pembatalan semua bazar Ramadan tahun ini.
Annuar pula semalam mengulangi kenyataannya bahawa isu tuntutan wang penjaja daripada penganjur di luar bidang kuasa kementerian.
“Untuk bayaran deposit saya telah mengarahkan DBKL mengembalikan terus kepada penama yang didaftarkan sebagai penjaja.
“Jadi saya telah putuskan kembali kepada semua penjaja. Namun kutipan lain yang dibuat persatuan atau penganjur di luar pengetahun kita.
“Walau apa pun saya harap persatuan dapat selesaikan dengan ahli masing-masing. Pihak DBKL tidak mencampuri kerana di luar bidang kuasa,” katanya. – 26 April, 2020.
Komen