KEMENTERIAN Kesihatan berkata kapasiti maksimum makmal untuk mengendalikan ujian saringan Covid-19 meningkat kepada 16,385 sehari.
Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah berkata semalam pihaknya menjalankan sebanyak 14,967 ujian.
“Kapasiti untuk menjalankan ujian sudah meningkat. Minggu depan kita akan mendapat 200,000 kit ujian daripada Korea Selatan.
“Ini boleh meningkatkan ujian sebanyak 20,000 sehari,” katanya pada sidang media perkembangan harian Covid-19 di Putrajaya hari ini.
Dr Noor Hisham berkata berdasarkan ujian saringan yang dilakukan setiap hari, kapasitinya mencukupi buat masa ini.
Kapasiti makmal kini sudah dipertingkatkan dengan melibatkan 43 makmal dari sektor awam, swasta dan universiti.
Dr Noor Hisham berkata seramai 99 pesakit puli daripada Covid-19 dan dibenarkan keluar hospital dalam tempoh 24 jam lepas.
Jumlah itu melebihi 54 kes jangkitan baharu yang dilaporkan dalam tempoh sama.
Bagaimanapun dua lagi kematian dicatatkan dalam tempoh tersebut, menjadikan jumlah keseluruhan korban meningkat kepada 98 orang. – 25 April, 2020.
Komen