Polis siasat anak Zahid Hamidi langgar PKP


Alfian Z.M. Tahir

Nurulhidayah dilihat berkongsi gambar di Instagram yang diambil di Putrajaya selepas pertemuan dengan Timbalan Menteri Alam Sekitar dan Air Ahmad Masrizal Muhammad. – Gambar fail The Malaysian Insight, 25 April, 2020.

POLIS Di-Raja Malaysia (PDRM) telah membuka kertas siasatan terhadap anak perempuan dan menantu Presiden Umno Ahmad Zahid Hamid kerana melanggar perintah kawalan pergerakan (PKP).

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (CID) Huzir Mohamed berkata kertas siasatan itu, apabila lengkap nanti, akan dirujuk kepada Pejabat Peguam Negara untuk tindakan lanjut.

“Oleh itu, orang ramai dinasihatkan agar tidak cuba menimbulkan kegusaran dan persepsi negatif di kalangan masyarakat seolah-olah PDRM tidak mengambil tindakan ke atas dakwaan pelanggaran ini.

“PDRM ingin menegaskan sekali lagi bahawa tiada sesiapa pun yang akan terlepas daripada sebarang tindakan sekiranya didapati dengan sengaja melanggar apa juga undang-undang negara,” katanya dalam satu kenyataan malam ini.

Huzir berkata polis semalam mengambil kenyataan daripada Nurulhidayah Ahmad Zahid dan suaminya berhubung gambar yang dimuat naik ke Instagram, yang menunjukkan mereka mengunjungi menteri agama Zulkifli Mohd al-Bakri dan Timbalan Menteri Alam Sekitar dan Air Masrizal Muhammad di Putrajaya.

Tindakannya mencetuskan kemarahan umum, ketika rakyat diminta patuh PKP dan duduk di rumah.

Di bawah PKP yang dilanjutkan, orang ramai hanya dibenar untuk bergerak dalam lingkungan 10km dari alamat kediaman kecuali mereka yang mendapat kebenaran daripada pihak polis bagi urusan perlu.

Menurut Huzir, kes disiasat mengikut Seksyen 269 Kanun Keseksaan atas perbuatan cuai yang boleh menyebabkan penularan penyakit berbahaya, dan kerana melanggar PKP.

Sekiranya dituduh di mahkamah dan sabit kesalahan, Nurulhidayah dan suami boleh dipenjara sehingga enam bulan, denda atau kedua-duanya.

PKP dikuatkuasakan bermula 18 Mac lalu bagi menghentikan penularan virus Covid-19 yang setakat ini telah menjangkiti 5,742 dan meragut 98 nyawa. Ia sudah dilanjutkan tiga kali memasuki fasa keempat sehingga 12 Mei. – 25 April, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen