Salah faham punca penduduk Menara City One bersesak jalani ujian, kata KP Kesihatan


Noel Achariam

Seorang petugas Alam Flora melakukan kerja membasmi kuman di sekitar Menara City One pada 2 April lalu. – Gambar fail The Malaysian Insight, 25 April, 2020.

KEMENTERIAN Kesihatan berkata berlaku salah faham di Menara City One sehingga menyebabkan penduduknya melanggari peraturan penjarakan sosial.

Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah berkata ujian saringan yang dijalankan adalah untuk penduduk dari satu blok tetapi penduduk kedua-dua blok hadir ujian tersebut.

“Apabila kita menyemak laporan, pengumuman dibuat untuk Menara A tetapi penduduk Menara B turut datang dan menyebabkan kesesakan berlaku di lokasi ujian.

“Kita berharap dari segi pelaksanaan, kita boleh meningkatkan amalan penjarakan sosial dalam kalangan penduduk,” katanya pada sidang media harian berhubung perkembangan kes Covid-19 di Putrajaya hari ini.

Terdahulu, penduduk di Menara City One mendakwa pihak berkuasa gagal mengekalkan penjarakan sosial semasa sesi ujian sarinagan Covid-19 malam semalam.

Mereka mendakwa pihak berkuasa meminta semua penduduk turun ke lobi bagi menjalani ujian itu.

Mereka berkata penjarakan sosial tidak diamalkan dalam lif.

Dr Noor Hisham berkata pihaknya sudah bekerjasama dengan polis bagi mengendalikan isu itu.

“Mereka (penduduk) turun beramai-ramai. Jadi untuk mengendalikan penduduk, kita perlu bekerjasama dengan polis bagi menenangkan situasi dan kita berjaya melaksanakan penjarakan sosial di sana.”

Menara City One menjadi kediaman aras tinggi pertama yang diletakkan di bawah PKPD bermula pada 31 Mac lalu dengan melibatkan 3,200 penduduk di 502 buah unit.

Menara itu setakat ini mencatatkan 51 kes dengan satu kematian.

Di bawah PKPD, segala bekalan asas disediakan oleh kerajaan manakala pihak berkuasa kesihatan menjalankan usaha mengesan penduduk yang dijangkiti virus itu. – 25 April, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen