SEBANYAK 99 pesakit telah pulih dari Covid-19 dan dibenarkan pulang, menjadikan jumlah itu melebihi kes baharu yang disahkan sebanyak 51, kata Dr Noor Hisham Abdullah.
Ketua pengarah kesihatan itu mengatakan jumlah kes pulih kini berjumlah 3762 sementara jumlah kes terkumpul secara keseluruhan adalah 5,742.
“Ketika ini, ada 36 pesakit yang sedang dirawat di unit rawatan rapi (ICU), yang memerlukan bantuan pernafasan,” katanya.
Dr Noor Hisham mengatakan terdapat dua kematian yang dilaporkan sepanjang 24 jam lalu, menjadikan jumlah kematian di seluruh negara akibat virus itu menjadi 98 orang.
Kematian pertama adalah seorang lelaki berusia 62 tahun yang menerima rawatan di Hospital Sg Buloh dan mempunyai sejarah penyakit jantung. Pesakit dimasukkan ke hospital pada 28 Mac dan meninggal dunia hari ini.
Pesakit kedua yang meninggal dunia adalah seorang wanita berusia 62 tahun yang mempunyai tekanan darah tinggi dan mempunyai kontak dengan pesakit Covid-19, iaitu anaknya.
Dia dimasukkan ke Hospital Kuala Lumpur pada 22 Mac dan meninggal dunia pada hari Jumaat. – 25 April, 2020.
Komen