AHLI Parlimen Sungai Petani Johari Abdul meminta Timbalan Speaker Dewan Rakyat Ismail Mohamed Said supaya menilai semula keputusan berkenaan Rang Undang-undang Perbekalan bagi Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan.
Kata beliau, berlaku kesilapan dalam proses pengiraan undi pada malam Isnin iaitu 52 ahli Parlimen pembangkang menentang rang undang-undang itu, dan bukannnya 51.
“Saya mohon (penilaian semula) timbalan speaker, kerana ada kesilapan dalam proses pengiraan Rang Undang-undang Perbekalan bagi bagi Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan pada hari Isnin.
“Diumumkan 52 orang mengundi menyokong, 51 menentang dan dua berkecuali.
“Bagaimanapun, selepas kami memeriksa semula, mereka yang menyokong ialah 52 orang, dan 52 menentang, bukan 51,” kata Johari di Dewan Rakyat selepas sesi soal jawab.
Ismail menjawab dengan berkata keputusan yang diumumkan Timbalan Spekaer Ronald Kiandee adalah tepat.
“Undi belah bahagi telah diadakan dan undi secara rasmi diserahkan kepada setiausaha dewan.
“Setiausaha memastikan jumlah undi tepat dan (keputusan) kemudian diumumkan oleh speaker (Kiandee).”
Pada Isnin, kerajaan menang tipis perbahasan Bajet 2018 pada peringkat jawatankuasa dengan satu undi
Perbahasan mengenai Rang Undang-undang Perbekalan untuk Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan baru saja tamat apabila ahli Parlimen Kapar G. Manivanan meminta undi belah bahagi kerana lebih ramai ahli Parlimen pembangkang hadir.
Ahli Parlimen pembangkang mula menjerit “tutup pintu!” apabila Timbalan Speaker Ronald Kiandee mengarahkan Ahli Parlimen BN dipanggil masuk.
Jeritan itu berlarutan apabila beberapa ahli Parlimen pakatan pemerintah mula masuk, selepas Kiandee mengumumkan rang undang-undang itu diluluskan dengan undian 52 ahli Parlimen menyokong, 51 menentang manakala dua lagi berkecuali.
Dua ahli Parlimen yang berkecuali ialah Idris Ahmad (Bukit Gantang) dan Siti Zailah Mohd Yusoff (Rantau Panjang).
Menteri di Jabatan Perdana Menteri Azalina Othman Said semalam berkata kekecohan itu berlaku kerana pembangkang tidak dapat menerima kekalahan. – 22 November, 2017.
Komen