Tak logik Rohingya akan kuasai Malaysia, kata pengkaji


Mohd Farhan Darwis

Pelarian Rohingya hanya mahu terus hidup di Malaysia kerana ancaman di negara mereka sendiri. – Gambar fail The Malaysian Insight, 25 April, 2020.

KOMUNITI Rohingya perlu terus dibantu terutama sewaktu Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang memburukkan lagi keadaan mereka, kata pengkaji Azlinariah Abdullah.

Pengkaji sosiologi dan budaya di Institut Asia-Eropah, Universiti Malaya itu berkata, keadaan semakin tersepit buat golongan itu yang kini menjadi sasaran kemarahan segelintir rakyat Malaysia.

“Kita perlu terus simpati dengan mereka. Mereka adalah pelarian. Mereka tiada apa-apa, tidak boleh bekerja, tiada dokumen, tiada wang sara hidup, tidak boleh ke sekolah, sering dimanipulasi.

“Situasi makin getir apabila PKP dilaksanakan, tiada makanan, tidak boleh bekerja, tiada bantuan, diburukkan pula dengan sentimen anti-Rohingya sekarang.

“Jangan sampai kita benarkan mereka masuk tapi kita biarkan mereka mati kebuluran,” katanya, kepada The Malaysian Insight ketika dihubungi.

Kecaman ke atas komuniti itu muncul apabila aktivis menggesa kerajaan membantu pelarian Rohingya di kawasan Selayang yang kini diletakkan bawa Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan.

Aktivis berkenaan mendakwa kumpulan Rohinga akan kebuluran pada masa akan datang kerana bantuan makanan dari kerajaan hanya diberikan kepada rakyat negara ini.

Berita palsu juga muncul dengan tuduhan liar antaranya pelarian Rohingya mahu menuntut kerakyatan dan kedudukan setaraf.

Ugutan bunuh dan kecaman turut disuarakan ke atas Zafar Ahmad Abdul Ghani, pemimpin Pertubuhan Hak Asasi Manusia Etnik Rohingya Myanmar Malaysia (Merhrom).

Ia turut dikaitkan dengan tindakan pasukan keselamatan Malaysia menyekat kemasukan bot pelarian tersebut pada 17 April lalu.

Pelarian itui juga perlu terus dibantu atas dasar perikemanusiaan, kata Azlinariah Abdullah. – Gambar fail The Malaysian Insight, 25 April, 2020.

Kehadiran kapal membawa 200 orang itu dilaporkan dikesan kira-kira 70 batu nautika dari Pulau Langkawi dan dihalang oleh pasukan keselamatan.

Ia merupakan kumpulan kedua yang cuba masuk ke Malaysia selepas seramai 202 orang Rohingya bolos melalui jalan sama pada 5 April lalu.

Sokongan ke atas usaha sekatan itu disuarakan pemimpin NGO Melayu dan juga bekas perdana menteri Najib Razak yang berkata bot Rohingya tidak boleh dibenar mendarat untuk mengelak tragedi.

Dalam satu kenyataan, beliau juga menegur etnik Rohingya dalam negara supaya menghormati undang-undang dan sensitif dengan sentimen serta kebimbangan rakyat Malaysia.

Hak kemanusiaan golongan Rohingya merupakan antara isu yang digunakannya sewaktu mula menggerakkan kerjasama dengan PAS dengan mengadakan perhimpunan setiakawan.

Sekatan ke atas kumpulan Rohingya dari mendarat ke negara ini juga mendapat kritikan dari kumpulan hak asasi yang melihat ia menafikan bantuan kemanusiaan ke atas pendatang berkenaan.

Sentimen kebencian ke atas golongan Rohingya itu dikecam pemimpin pembangkang seperti Presiden PKR Anwar Ibrahim yang menuntut agar rakyat Malaysia menunjukkan simpati dan perikemanusiaan.

Rohingya adalah pelarian yang menyebabkan mereka tidak boleh bekerja atau bersekolah dan tidak mempunyai hak seperti pekerja asing lain.  – Gambar fail The Malaysian Insight, 25 April, 2020.

Mengulas sentimen kebencian itu, Azlinariah berkata beliau tidak menolak andaian bahawa kecaman diterima golongan itu disebabkan kejahilan rakyat Malaysia sendiri.

Katanya, masyarakat gagal membezakan kelompok Bangladesh, Myanmar Muslim, dan juga pelarian Rohingya.

“Apa yang berlaku sekarang (kecaman netizen) pada saya tindakan pukul rata di mana mereka tidak tahu membezakan mana Rohingya, mana Myanmar Muslim dan mana Bangladesh.

“Myanmar Muslim dan Bangladesh mereka adalah suaka kerana ekonomi atau politik tapi Rohingya adalah pelarian.

“Myanmar Muslim dan Bangladesh ada pasport, boleh berniaga dan bawa masuk barang ke Malaysia, tidak seperti Rohingya,” katanya.

Jelasnya, golongan pelarian itu juga tidak patut menerima kecaman hanya kerana menuntut hak asas sebagai manusia.

“Mungkin ada segelintir Rohingya yang meminta macam-macam tetapi pada saya, meminta hak untuk menjadi manusia, adakah aneh?” katanya lagi.

Malah, umat Islam di Malaysia perlu mengambil teladan daripada sikap golongan Ansar Madinah yang menerima kelompok Muhajirin dari Mekah seperti dalam sirah nabi.

“Atas semangat Muhajirin dan Ansar (mereka Muhajirin, kita Ansar) mereka perlu terus dibantu, itulah sirah Rasulullah semasa mendirikan Madinah.”

Azlinarah juga berkata, kajiannya menunjukan hampir 100% Rohingya yang berada di Malaysia mahu kembali ke Myanmar jika keadaan selamat buat mereka.

Oleh itu, rakyat Malaysia tidak perlu bimbang Rohingya akan mendominasi negara ini.

“Berdasarkan kajian kedoktoran yang saya buat tentang Rohingya, daripada 70 responden ditemubual, hampir 100% mahu pulang semula ke Myanmar jika selamat.

“Lalu, kenapa kita mesti takut mereka mahu mendominasi dan merampas hak rakyat tempatan, agak tidak logik,” katanya.

Beliau juga mengulas dakwaan liar yang timbul di media sosial bahawa golongan Rohingya cuba berkahwin dengan orang tempatan itu tidak mungkin berlaku.

(Orang) Rohingya tiada negara, tidak mungkin berkahwin dengan orang Melayu, mereka cuma menumpang teduh, berumah di tanah orang,” katanya lagi.

Rakyat Malaysia perlu lebih bersimpati terhadap Rohingya seperti mana ditunjukkan simpati kepada umat Islam lain.  – Gambar fail The Malaysian Insight, 25 April, 2020.

Jelasnya, ia berbeza dengan orang Islam dari Myanmar dan Bangladesh yang dapat berkahwin dan berasimilasi dengan rakyat tempatan kerana memiliki pasport.

Azlinariah berkata, dari sudut kemanusiaan adalah tidak wajar kesempatan digunakan pihak tertentu bagi meraih kelebihan politik.

Sebaliknya, tindakan politik diperlukan untuk menggerakkan dasar bagi membantu Rohingya.

“Kalau isu Rohingya dilihat daripada sudut kemanusiaan, ia tidak wajar ada penglibatan politik di situ tetapi untuk isu pelbagai cabang seperti Rohingya diselesaikan.

“Ia perlukan dasar, yang digerakkan oleh ahli politik. Tetapi, saya percaya dalam isu Rohingya kerajaan ada perbincangan yg diambil dalam kerangka Asean untuk capai diplomasi dan penyelesaian terbaik.

“Dasar yang longgar hanya memungkinkan isu Rohingya digunakan untuk tujuan dan kepentingan tertentu,” katanya, lagi.

Pelarian dari Myanmar di Malaysia dilaporkan berjumlah antara 150,000 hingga 400,000 orang pada masa ini melibatkan tiga atau empat generasi.

Pesuruhjaya Hak Asasi Manusia Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu melaporkan seramai 101,010 etnik Rohingya berdaftar dengan pertubuhan itu sehingga Februari 2020.– 25 April, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen