Malaysia kini dalam fasa pemulihan Covid-19, kata KP Kesihatan


Ragananthini Vethasalam

Perintah Kawalan Pergerakan yang berkuatkuasa pada 18 Mac kini dilanjutkan sehingga 12 Mei.– Gambar fail The Malaysian Insight, 24 April, 2020.

FASA pertama dan kedua Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) membantu Malaysia mengurangkan kemuncak Covid-19, kata Dr Noor Hisham Abdullah hari ini.

Negara kini dalam fasa pemulihan selepas melepasi kemuncak 217 kes pada 3 April.

“Kita juga menjangkakan kemuncak pada 14 April pada 6,300 kes namun kita tidak melihatnya.

“Ini bermakna mungkin PKP 1 dan 2 telah mengurangkan kemuncak dan kita kini dalam fasa pemulihan, bukan fasa kemuncak,” kata ketua pengarah kesihatan pada sidang media harian Covid-19 di Putrajaya.

“Kami harap kita dapat teruskan momentum ini, dan memastikan kita dapat kawal dan mengurangkan kes.”

Sebelum pelaksanaan PKP yang bermula pada 18 Mac, kadar jangkitan atau R-naught Malaysia adalah pada 3.55 – bermakna satu kes positif boleh menjangkiti sehingga 3.55 orang.

Selepas 14 April, Dr Noor Hisham berkata, R-naught Malaysia menurun kurang daripada satu.

R-naught mewakili jumlah jangkitan baharu yang dianggarkan berpunca daripada satu kes.

Jumlah kes aktif setakat hari ini, selepas kematian dan pemulihan adalah 1,932. Jumlah kes Covid-19 adalah 5,691.

Terdapat 88 jangkitan baharu hari ini, iaitu lapan hari berturut-turut dua digit kes.

PKP dikuatkuasakan pada 18 Mac, selama dua minggu.

Ia bagaimanapun dilanjutkan tiga kali dan dijangka berakhir pada 12 Mei, menjadikan Perintah Kawalan Pergerakan dijalankan lapan minggu. – 24 April, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen