MAJIKAN dan pekerja perlu terus mematuhi garis panduan kesihatan untuk mencegah penularan Covid-19 apabila kelonggaran diberikan kepada beberapa sektor terpilih ketika perintah kawalan pergerakan fasa keempat, kata Kementerian Kesihatan.
Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah hari ini juga mengingatkan majikan dan pekerja untuk terus mematuhi aspek penjarakan sosial dan kaedah penjagaan kebersihan.
“Fasa keempat akan menyaksikan beberapa kelongaran perintah kawalan pergerakan untuk sektor ekonomi tertentu diberikan,” katanya pada sidang media harian Covid-19, hari ini.
“Penting untuk majikan dan pekerja mematuhi langkah (pencegahan) diperlukan.”
Langkah pencegahan ini termasuklah mengelak tempat sesak dan ruang tertutup di tempat kerja seperti bilik dapur dan mengamalkan penjarakan sosial ketika berbual.
Fasa keempat PKP akan bermula 29 April sehingga 12 Mei, umum Perdana Menteri Muhyiddin Yassin malam tadi.
PKP fasa keempat akan berkuatkuasa mulai 29 April sehingga 12 Mei, seperti diumumkan Perdana Menteri Muhyiddin Yassin malam tadi.
Dr Noor Hisham berkata pelanjutan PKP selama dua minggu lagi itu memberikan kerajaan peluang untuk membasmi sepenuhnya jangkitan Covid-19 sebelum menyemak semula keberkesanan dan tahap jangkitan negara ini.
Katanya, KKM juga akan meneruskan langkah pencegahan sedia ada dan memperhebat usaha untuk mengurangkan kes menerusi pendekatan bersasar di kawasan perintah kawalan pergerakan diperketat. – 24 April, 2020.
Komen