LIMA anggota polis berdepan siasatan dalaman berkaitan tuduhan salah laku dalam penahanan seorang remaja berusia 19 tahun yang ditahan kerana melanggar perintah kawalan pergerakan di Sungai Petani.
Ketua Polis Daerah Kuala Muda Adzli Abu Shah berkata remaja berkenaan membuat laporan polis mengenai kejadian yang berlaku minggu lepas.
Adzli berkata beliau sudah mengarahkan Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS) untuk menyiasat perkara itu.
“Saya boleh sahkan yang saya sudah terima laporan polis daripada pengadu berusia 19 tahun yang mendakwa di dera anggota polis. Kami faham dia tidak berpuas hati dengan layanan diterima daripada anggota polis.
“Dia pada mulanya ditahan pada 18 April kerana didakwa melanggar perintah kawalan pergerakan. Sekarang, saya sudah arahkan JIPS untuk menyiasat perkara ini,” katanya kepada The Malaysian Insight.
Menurut kumpulan hak sivil, Eliminating Deaths and Abuse in Custody Together (Edict), remaja berkenaan, Ahmad Radhi Bashizan menggunakan tongkat ketika disebabkan baharu sahaja menjalani pembedahan di pinggangnya ketika ditahan anggota polis ketika berada di luar rumahnya.
Beliau kemudian mendakwa dipaksa masuk ke but kereta peronda sebelum dibawa ke balai polis terletak hampir 20 km jauhnya.
Edict berkata Ahmad Radhi dalam laporan polisnya menyebut beliau sukar bernafas ketika berada di dalam but.
“Dia memaklumkan lima anggota polis yang menahannya bahawa dia baharu jalani pembedahan untuk masukkan pin ke dalam pinggang kanannya.
“Dia juga tunjuk tongkat ketiaknya. Dia beritahu mereka yang beliau kena makan ubat. Dia beritahu mereka yang doktor pesan jangan letak sebarang beban di kaki kanannya selama dua bulan.
“Anggota polis tak ambil peduli semuanya. Mereka gari dia. Mereka beritahu dia dan seorang lagi tahanan untuk masuk ke dalam but kereta peronda.
“Mereka di bawa ke pondok polis dalam kawasan kediaman dia. Dia sukar hendak bernafas bila berada dalam but kereta. Daripada pondok polis, dia dibawa ke lokap di IPD Kuala Muda, yang terletak hampir 20 km jauhnya,” kata Edict.
Kumpulan itu berkata Ahmad Radhi diberikan ikat jamin polis dan dibebaskan dengan syarat hadir di mahkamah pada 29 April untuk didakwa.
Ketika ditahan, Ahmad Radhi juga tidak dibenarkan menggunakan tongkat ketiaknya dan mengambil ubatnya.
“Dia membuat laporan polis semalam di Sungai Petani dan memberikan ID anggota polis yang menahannya. Dia menyatakan terdapat empat anggota polis terlibat dalam penahanan itu,” kata Edict. – 24 April, 2020.
Komen