MALAYSIA akan menyemak semula Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) susulan kejatuhan harga minyak dunia, kata Menteri Hal Ehwal Ekonomi Mustapa Mohamed.
“Data yang digunakan sebelum ini tidak lagi relevan. Kita akan kembali kepada proses rancangan,” katanya pada satu sesi wawancawa web bersama Ideas hari ini.
“Bila saya naik (jadi menteri) bulan lepas, banyak kerja sudah bergerak untuk RMK12. Rancangan dibuat ketika ekonomi dan jangkaan masih baik.
“Tetapi susulan perintah kawalan pergerakan (PKP) dan Covid-19, sekarang pertumbuhan negatif.”
Mustapa, bagaimanapun, tidak menjelaskan jenis semakan semula yang akan dilakukan ke atas RMK12 tetapi menegaskan pentadbiran sekarang akan meneruskan gagasan Wawasan Kemakmuran Bersama diperkenalkan kerajaan terdahulu.
“Ia akan ikut Wawasan Kemakmuran Bersama yang diumumkan kerajaan terdahulu.”
Di bawah Belanjawan 2020, kerajaan menjangkakan pendapatan berkaitan petroleum berada sekitar RM50.5 bilion dengan harga purata minyak dunia iaitu AS$62 satu tong.
Pendapatan bukan petroleum pula dianggarkan meningkat sebanyak 6.6% kepada RM194 bilion iaitu 12% daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK).
Bagaimanapun, harga minyal Brent sekarang adalah AS$22.
Mustapa berkata Covid-19 juga mengubah tata corak tingkah laku kepenggunaan.
“Selepas ini, akan ada lebih banyak pejabat virtual dan ini akan melembapkan pasaran hartanah yang sudahpun lembap sebelum ini.”
Beliau bagaimanapun enggan mengulas sama ada kerajaan Perikatan Nasional akan mengumumkan satu lagi pakej rangsangan susulan penguatkuasaan perintah kawalan pergerakan fasa empat.
“Bukan tugas saya untuk ulas perkara itu. Kita akan pantau perkembangan (semasa),” katanya.
Pakej rangsangan ekonomi yang diumumkan sebelum ini bernilai RM260 bilion.
Perdana Menteri Muhyiddin Yassin semalam mengumumkan pelanjutan dua minggu lagi PKP.
PKP lapan minggu yang bermula pada 18 Mac lalu kini hanya akan berakhir pada 12 Mei. – 24 April, 2020.
Komen