Bukan masanya jual aset kerajaan untuk biaya pakej rangsangan, kata Mustapa


Chan Kok Leong

BUKAN masanya kerajaan menjual asetnya kerana harga jualannya akan menjadi sangat rendah, kata Mustapa Mohamed.

Menteri hal ehwal ekonomi itu berkata demikian pada sesi wawancara web bersama Ideas hari ini, menjawab soalan sama ada Putrajaya merancang menjual asetnya untuk membiayai pakej rangsangan ekonomi.

“Pandangan peribadi saya adalah harga akan jadi sangat rendah dan bukan masanya untuk kita jual aset,” jawab Mustapa kepada soalan dikemukakan CEO Ideas Ali Salman.

“Akan berlaku harga jualan sangat rendah jika kita buat (jual) sekarang.”

Katanya, kerajaan mempunyai hartanah dan aset bersama dan terdapat beberapa pandangan mengenainya sekarang.

“Satu pandangan adalah kita perlu terus pegang aset kita kerana harga jualan sekarang rendah. Satu lagi pandangan adalah kita patut jual sekarang kerana kita perlukan duit.”

Sementara itu, Mustapa berkata kerajaan turut mempertimbangkan pembukaan semula atau membenarkan lebih banyak aktiviti ekonomi dalam zon hijau.

“Perlis misalnya sekarang adalah zon hijau kerana tidak ada kes baharu sejak beberapa hari lepas. Dan ada pihak yang berpandangan kawalan pergerakan boleh dilonggarkan di zon hijau.

“Tetapi, semua ini di bawah bidang kuasa Kementerian Kesihatan.”

Mustapa berkata pihak berkuasa perlu mula mempertimbangkan apa yang boleh dibenarkan beroperasi kembali walaupun mengekang penularan wabak masih menjadi keutamaan pertama negara.

Semalam, Perdana Menteri Muhyiddin Yassin mengumumkan pelanjutan PKP selama dua minggu lagi.

PKP lapan minggu yang bermula sejak 18 Mac lalu kini akan berakhir pada 12 Mei depan. – 24 April, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen