BN ambil tindakan ahli Parlimen tidak hadir undi belah bahagi


Diyana Ibrahim

Timbalan Perdana Menteri Ahmad Zahid Hamidi berkata tindakan itu bagaimanapun hanya merupakan tindakan dalam parti tanpa menjelaskan lebih lanjut. – Gambar The Malaysian Insight oleh Nazir Sufari, 22 November, 2017.

AHLI Parlimen Barisan Nasional (BN) yang tidak menghadiri sidang Parlimen semasa undi belah bahagi ketika penggulungan Rang Undang-Undang Perbekalan 2018 pada Isnin lalu akan dikenakan tindakan, kata Timbalan Perdana Menteri Ahmad Zahid Hamidi.

Bagaimanapun, beliau hanya menyatakan tindakan tersebut merupakan tindakan dalam parti tanpa menjelaskan lebih lanjut.

“Ada tindakan dalam parti kita sudah ambil, sudah tentu mengenai ketidakhadiran ahli Parlimen BN pada Isnin lepas,” katanya pada sidang media di Parlimen hari ini.

Beliau berkata demikian mengulas mengenai cubaan undian belah bahagi dicetuskan ketika penggulungan Rang Undang-Undang Perbekalan 2018 untuk peringkat jawatankuasa di Parlimen.

BN hanya menang tipis dengan lebih satu undi iaitu 52, pembangkang 51 sementara dua lagi berkecuali. 

Undian belah bahagi itu mencetuskan kekecohan apabila pembangkang mendakwa berlakunya penyalahgunaan Peraturan Mesyuarat kerana membenarkan ahli Parlimen yang lewat memasuki Dewan Rakyat untuk mengundi.

Ahli Parlimen DAP Gobind Singh Deo mendakwa terdapat tiga menteri yang lewat hadir dalam Dewan tetapi masih diterima undi iaitu Ahli Parlimen Pengerang Azalina Othman,  Raime Unggi  (Tenom) dan Ismail Sabri Yaakob (Bera) .

Bagaimanapun, Timbalan Speaker Ronald Kiandee berkata tiada peruntukan dalam Peraturan Mesyuarat yang menghalang wakil rakyat lewat memasuki dewan untuk menyertai proses pengundian.

Mengulas mengenai isu itu lagi, peringatan juga diberikan kepada ahli Parlimen BN untuk mengambil berat kehadiran mereka semasa sidang Dewan Rakyat.

“Saya sudah beritahu kepada mereka, saya sudah nasihat ahli Parlimen BN mereka patut lebih serius akan kehadiran semasa Dewan Rakyat bersidang.

“Saya sudah ingatkan mereka untuk sentiasa ada di Parlimen.”

Namun beliau berkata apa yang penting BN tetap menang walaupun dengan hanya lebihan satu undi. – 22 November, 2017.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen