TINJAUAN Unicef baru-baru ini yang mendapati tujuh daripada 10 kanak-kanak di Malaysia bimbang dibuli adalah amaran yang langkah sedia ada masih tidak mencukupi untuk menghapuskan gejala itu di sekolah, kata Dr Nurul Karmila Abdullah.
Ibu mangsa buli berusia 14 tahun itu berpendapat kesedaran mengenai buli masih rendah di kalangan ibu bapa, malah mengejutkannya, orang dewasa yang tampil bercakap mengenai pengalaman pahit yang dilalui masa lalu sebagai mangsa buli.
Dr Kharmila mula bercakap dan memberi ceramah sejak memulakan kempen anti buli bagi meningkatkan kesedaran orang ramai tentang isu itu pada awal tahun ini.
Anak lelakinya adalah salah seorang daripada enam pelajar tingkatan dua yang dibuli oleh 10 pelajar di Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) pada Mei lalu.
“Ia tidak semudah seperti anda pergi dan memberitahu orang tentang buli dan ia selesai. Ia adalah fenomena yang sangat kompleks.
“Banyak ibu bapa datang kepada saya untuk mendapatkan nasihat. Mereka tidak tahu apa yang perlu dilakukan apabila mengetahui anak-anak mereka sedang dibuli atau dituduh membuli orang lain,” katanya kepada The Malaysian Insight.
Kaji selidik Unicef itu mendapati tujuh daripada 10 kanak-kanak Malaysia berusia antara sembilan hingga 18 tahun bimbang akan dibuli. Sebanyak 11,000 lelaki dan perempuan menjadi responden dalam tinjauan itu.
Hasil tinjauan menunjukkan kanak-kanak Malaysia lebih bimbang mengenai dibuli berbanding rakan sebaya di negara lain seperti Jepun (3 dalam 10 kanak-kanak) dan United Kingdom (4 dalam 10 kanak-kanak).
Dr Kharmila berkata ibu bapa perlu bekerjasama dengan guru dan meluangkan masa melengkapkan diri dengan kemahiran keibubapaan serta pengetahuan yang perlu bagi menangani buli, di samping menyesuaikan diri dengan tekanan mencari rezeki.
“Tidak mudah membuatkan anak-anak remaja bercakap tetapi ia penting,” katanya.
Katanya, ramai mangsa kanak-kanak terus menderita dalam senyap kerana tidak tahu pada siapa untuk mengadu atau apa yang perlu dilakukan apabila dibuli.
Anaknya kini cemerlang di sekolah lain tanpa budaya ragging. Tetapi di sekolahnya sebelum ini, Dr Kharmila tidak tahu - dan anaknya tidak memberitahu - dia dibuli sejak masuk sekolah.
“Pelajar lama akan memintanya memasak Maggi dan mengambil air untuk mereka, seterika dan mencuci pakaian mereka, dan meminta mereka (pelajar baru) duit.
“Dia dipukul sejak tahun lepas dan hanya memberitahu kami yang dia mahu pindah ke sekolah lain. Semasa ditanya jika sesiapa memukulnya, dia menjawab tidak,” katanya.
Anaknya hanya memberitahu dibuli pada Mei apabila cedera parah dengan lebam dan luka. Pembuli, yang kemudiannya didapati bersalah dan digantung dari sekolah, menyerangnya kerana enggan menyerahkan kasutnya kepada mereka.
Mereka juga memaksa dia minum air panas dan menuangkan air panas ke seluruh tubuhnya.
Kongsi pengalaman
Dr Kharmila, pensyarah forensik di Universiti Sains Islam Malaysia, berkata kempennya juga membuka masalah lebih kompleks, menyebabkan orang tidak dikenali dan rakan sekerja berkongsi cerita mengerikan mereka sebagai remaja di sekolah berasrama tempatan.
“Ia agak membimbangkan mendengar orang-orang ini yang kini bergelar profesor emeritus berkongsi kenangan dibuli. Ada di antara mereka masih ingat dengan jelas apa yang berlaku dan ada yang masih berdendam.
“Seorang rakan sekerja memberitahu dia dipukul semasa dalam tingkatan empat dan sampah dibuang di kepalanya. Apabila dia memberitahu ibu bapanya, mereka menyuruhnya bersabar kerana ia sekolah yang bagus.
“Insiden ini boleh meninggalkan parut psikologi yang kekal pada mereka. Ia menakutkan. Selalunya, orang yang berada di tempat kejadian juga takut membuat laporan,” katanya.
Beliau merancang membawanya kempen anti buli ke peringkat seterusnya dengan kerjasama dua NGO lain, termasuk Persatuan Ibu Bapa dan Guru MRSM (Muafakat).
“Banyak kumpulan melakukan kempen anti buli sekarang. Saya cukup gembira dengannya tetapi perlu ada usaha yang lebih teratur.
“Kementerian Pelajaran, polis, sekolah, ibu bapa, guru, penggubal undang-undang, kita perlu bekerjasama sebagai langkah ke depan,” katanya sambil menambah fokusnya adalah meningkatkan kesedaran.
Peranan sekolah
Kementerian Pendidikan masih belum memberi respons kepada maklum balas mengenai penemuan dan cadangan Unicef untuk mempunyai modul anti buli di sekolah.
Menurut statistik kementerian, pelajar yang mempunyai masalah tatatertib menurun 0.08% pada 2013 kepada 0.06% pada 2015.
Kes-kes buli di sekolah menurun daripada 4,159 kes pada 2012 kepada 4,120 pada 2013, dan 2,825 pada 2014, tetapi bilangannya meningkat semula pada 2015 kepada 2,968.
Presiden Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan Malaysia, Kamarozaman Abdul Razak, Kementerian Pelajaran memerlukan bantuan dalam menangani kekurangan guru kaunseling di sekolah-sekolah agar dapat mengendalikan masalah buli dengan berkesan.
Kaunseling adalah langkah pertama dan tindakan buang sekolah adalah jalan terakhir. Selain itu, kementerian tidak mempunyai program pemulihan lain untuk pelajar bermasalah.
“Kami memerlukan lebih ramai kaunselor untuk menangani pelajar bermasalah di sekolah rendah dan menengah. Sekarang kebanyakan kaunselor sekolah tertekan dan terbeban,” katanya.
Nisbah semasa seorang kaunselor bagi 300 murid di sekolah rendah dan 500 murid di sekolah menengah adalah tidak berkesan dan memerlukan seorang bagi 200 murid,” katanya.
“Banyak kaunselor sekolah rendah bukan sepenuh masa, mereka juga mempunyai tugas mengajar,” katanya.
Beliau berkata selain buli di sekolah, kaunselor juga bertanggungjawab membantu pelajar yang datang daripada keluarga yang porak peranda atau kumpulan berpendapatan rendah.
“Kita berhasrat menjadi negara bertaraf dunia pada 2020 tetapi kita perlu mengadaptasi penghargaan kepada kaunselor dan budaya kaunseling yang matang di sekolah,” katanya sambil menambah permintaan dan kebimbangannya diajukan kepada Kementerian Pendidikan setakat ini tidak menerima sebarang maklum balas.
Kamarozaman yang pernah memberi kaunseling kepada pelajar yang bermasalah di beberapa sekolah sepanjang kerjayanya sebagai tenaga pengajar dan mendapati pendekatan punitif tidak berkesan kepada pembuli.
“Guru-guru disiplin boleh memarahi dan mereka tidak akan mendengar. Mereka akan melayan guru seperti musuh.
“Kaunselor perlu mempunyai kemahiran dan pengetahuan menasihati mereka (pelajar yang bermasalah) untuk melepaskan kemarahan dan dendam mereka. Jika tidak, mereka mungkin membalasnya dengan merosakkan kereta guru (atau terlibat dalam tingkah laku lain yang merosakkan),” katanya.
Beliau menambah minoriti pelajar berisiko tinggi yang tidak dapat dikendalikan oleh kaunselor sekolah perlu dikenal pasti dan dirujuk kepada ahli psikologi atau pakar psikiatri.
Kekurangan contoh yang baik dalam masyarakat juga menjadi masalah. Kata Kamarozaman, ahli politik bukanlah contoh yang baik untuk pelajar kerana mereka sering dilihat berbalah.
“Mereka juga memerlukan kaunseling.” – 22 November, 2017.
Komen