Ada sedikit kelonggaran dalam PKP, kata Muhyiddin


Perdana Menteri Muhyiddin Yassin berkata kerajaan akan memberi sedikit kelonggaran pergerakan kepada mereka yang terkandas sejak perintah kawalan pergerakan dikuatkuasakan lebih sebulan lalu. – Gambar fail The Malaysian Insight, 23 April, 2020.

KERAJAAN akan memberi sedikit kelonggaran pergerakan kepada pelajar universiti dan kolej, serta orang ramai yang terkandas sejak perintah kawalan pergerakan dikuatkuasakan lebih sebulan lalu, umum Perdana Menteri Muhyiddin Yassin.

Kerajaan juga sedang meneliti kaedah untuk memulihkan ekonomi secara berperingkat, dengan pelan jangka pendek, sederhana, dan panjang, katanya.

“Ini adalah sedikit kelonggaran yang diberikan setakat ini. Saya ulang sekali lagi, sedikit kelonggaran. Bukan terlalu longgar. 

“Pelaksanaan kedua-dua langkah ini (pergerakan mereka yang terkandas) juga akan dipastikan teratur dan tidak menjejaskan usaha kita memerangi Covid-19,” katanya dalam ucapan yang disiarkan secara langsung melalui televisyen malam ini.

Mengenai proses pergerakan pelajar, prosesnya sedang diatur dengan teliti supaya tidak timbul risiko jangkitan baharu kerana melibatkan hampir 100,000 pelajar.

Bagi mereka yang terkandas di kampung pula, kerajaan sedang mengumpul data mereka yang terlibat dan mengkaji kaedah terbaik untuk mengatur pergerakan.

Dua hal ini juga sebelum ini diumumkan oleh menteri kanan keselamatan Ismail Sabri Yaakob dalam sidang media hariannya mengenai penguatkuasaan PKP minggu ini.

Pelaksanaan kelonggaran pergerakan mereka yang terkandas akan dipastikan teratur dan tidak menjejaskan usaha memerangi Covid-19. – Gambar fail The Malaysian Insight, 23 April, 2020.

Jelas Muhyiddin, sekiranya kes Covid-19 terus berkurangan dengan ketara, kerajaan mungkin akan melonggarkan kawalan pergerakan secara bertahap.

Ini bagi membolehkan rakyat menjalani hidup yang lebih selesa, katanya.

“Majlis Keselamatan Negara sedang merangka satu pelan yang menyeluruh mengenai perkara ini,” tambah perdana menteri.

Dalam ucapannya Muhyiddin mengumumkan perintah kawalan pergerakan (PKP) yang sepatutnya berakhir pada 28 April ini dilanjutkan untuk dua minggu lagi sehingga 12 Mei.

Beliau juga membayangkan PKP yang dikuatkuasa bagi memutuskan rantaian jangkitan Covid-19 mungkin akan disambung lagi selepas ini. 

Pelan pemulihan ekonomi

Mengenai pelan pemulihan ekonomi, Muhyiddin berkata beliau telah mengarahkan Kementerian Kewangan dan Unit Perancang Ekonomi mengemukakan rangka pelan jangka pendek, sederhana, dan panjang.

“Tumpuan pada masa ini adalah untuk mengenal pasti langkah dan inisiatif yang akan merancakkan pertumbuhan ekonomi jangka pendek dan sederhana, serta mendorong keyakinan rakyat dan pelabur untuk menjana semula ekonomi negara,” katanya.

Muhyiddin juga mengulangi nada semasa mengumumkan lanjutan PKP sebelum ini bahawa kerajaan akan memberi kelonggaran kepada sektor tertentu untuk beroperasi di bawah PKP dengan beberapa syarat keselamatan dan kebersihan.

“Pada masa ini pun beberapa sektor ekonomi telah dibuka. Selepas ini, kerajaan akan menimbang untuk membuka beberapa sektor dan subsektor yang lain tertakluk kepada syarat-syarat yang ketat,” katanya.

Jelas beliau, satu garis panduan serta syarat yang terperinci kepada pelabur dan sektor korporat akan dikeluarkan nanti. – 23 April, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen