PERINTAH kawalan pergerakan yang bermula pada 18 Mac lalu dilanjutkan untuk dua minggu lagi sehingga 12 Mei, umum Perdana Menteri Muhyiddin Yassin.
Kerajaan bagaimanapun sedang menimbang beberapa kelonggaran pergerakan untuk kelompok tertentu, serta meneliti pelan pemulihan ekonomi jangka pendek, sederhana dan panjang, katanya.
“Kita masih belum menang dalam perang menentang COVID 19. Tetapi saya yakin, insya-Allah, kita akan menang,” katanya dalam ucapan yang disiarkan secara langsung melalui televisyen malam ini.
Muhyiddin juga membayangkan PKP yang dikuatkuasa bagi memutuskan rantaian jangkitan Covid-19 mungkin akan disambung lagi selepas ini.
“Ini bermakna, saudara-saudari mungkin tidak boleh menyambut hari raya di kampung,” katanya.
Muhyiddin menyampaikan ucapannya tidak lama selepas Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja, Syed Danial Syed Ahmad mengumumkan umat Islam di Malaysia mula berpuasa esok.
Umat Islam dijadual menyambut Hari Raya Aidilfitri pada 23 atau 24 Mei.
Perdana menteri menjelaskan walaupun ada perkembangan positif dalam usaha menangani penularan Covid-19, PKP terpaksa diteruskan bagi memastikan wabak itu dapat dibendung sepenuhnya.
Dalam tempoh lebih kurang seminggu yang lalu, Malaysia merekodkan kes baharu yang semakin sedikit berbanding kes sembuh yang bertambah, berbanding ketika hari-hari awal kerajaan memperkenalkan PKP.
Setakat ini, 3,542 pesakit Covid-19 atau 63.2% daripada keseluruhan kes jangkitan telah sembuh.
“Saya harap dengan rawatan yang diberikan dan doa kita semua, lebih ramai pesakit Covid-19 akan sembuh dan dapat menjalani kehidupan seperti sediakala,” katanya.
Muhyiddin juga merakamkan syukur kerana Malaysia diakui sebagai antara negara yang mencatatkan kadar kesembuhan yang tinggi di dunia.
Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah hari ini mengumumkan terdapat 71 kes baharu yang dikesan, menjadikan kes terkumpul setakat tengah hari ini sebanyak 5,603 kes. – 23 April, 2020.
Komen