89% rakyat Malaysia sokong PKP dilanjutkan 


Bede Hong

Perintah Kawalan Pergerakan dikuatkuasakan bermula 18 Mac lalu bagi memutuskan rantaian jangkitan Covid-19.– Gambar fail The Malaysian Insight, 23 April, 2020.

UNDIAN yang dijalankan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN) mendapati, ramai yang bersetuju sekiranya Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang dikuatkuasakan sejak 18 Mac lalu dilanjutkan.

Setakat 8 malam ini, kira-kira 89% daripada 165,300 orang yang mengundi di aplikasi Telegram rasmi MKN memilih “Ya” apabila ditanya sama ada mereka menyokong lanjutan PKP selepas 28 April.

Undian itu dimulakan pada pukul 4.35 petang hari ini.

Soalannya adalah “adakah PKP wajar dilanjutkan selepas 28 April?”

Undian yang dijalankan MKN pada 9 April turut bertanya sama ada PKP wajar dilanjutkan ke fasa ketiga dan fasa terkini.

Mereka juga memilih untuk kawalan pergerakan dilanjutkan.

Perdana Menteri Muhyiddin Yassin malam ini mengumumkan PKP akan dilanjutkan dua minggu lagi sehingga 12 Mei.

Bagaimanapun, sedikit kelonggaran pergerakan diberikan kepada 100,000 penuntut universiti yang terkandas di kampus di seluruh negara untuk kembali ke rumah masing-masing.

Muhyiddin juga berkata lebih banyak perniagaan di beberapa sektor akan dibenarkan beroperasi.

Beliau bagaimanapun tidak mengulas lanjut dan berkata maklumat akan diberikan oleh kementerian yang berkaitan.

Sementara itu, Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah dalam sidang medianya hari ini berkata, beliau terlah bertemu dengan Muhyiddin pagi ini untuk membincangkan mengenai enam kriteria yang diperlukan sebelum sebarang keputusan menamatkan atau melanjutkan PKP.

Malaysia hari ini merekodkan 71 kes baharu dan dua kematian.

Jumlah kumulatif kes kini pada 5,603 manakala angka kematian adalah 95.

Jumlah kes yang pulih juga lebih banyak berbanding kes positif dengan 90 pesakit dibenarkan pulang hari ini, menjadikan jumlah keseluruhan kes pulih kepada 3,542.

Terdapat 1,966 kes aktif. – 23 April, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen