MALAYSIA hari ini menyaksikan seorang kakitangan kesihatannya yang ketiga maut akibat Covid-19 melibatkan seorang wanita berusia 32 tahun.
Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah berkata mangsa mempunyai sejarah tekanan darah tinggi.
“Mangsa merupakan kakitangan Kementerian Kesihatan dan mempunyai sejarah hubungan rapat dengan kes positif iaitu Kes 3662 (berkaitan dengan hospital pakar di Muar, Johor),” katanya pada sidang media harian hari ini.
Dia dirawat di Hospital Enche Besar Hajah Kalsom di Johor dan disahkan meninggal dunia pada jam 12.36 tengah hari tadi.
Malaysia hari ini mencatatkan 71 kes baharu Covid-19 menjadikan jumlah keseluruhan 5,603.
Terdapat juga dua kematian hari menjadikan jumlah kematian keseluruhan seramai 95 orang.
Bagaimanapun kes pulih lebih ramai berbanding kes positif iaitu seramai 90 pesakit dibenarkan keluar hospital hari ini menjadikan jumlah kes pulih 3,542 orang.
Kematian kedua pula melibatkan seorang lelaki berusia 67 tahun yang mempunyai hubungan rapat dengan kes dari kluster Bali.
Lelaki itu dirawat di Hospital Tengku Ampuan Afzan dan mempunyai sejarah penyakit kronik.
Noor Hisham juga berkata seramai 325 petugas kesihatan sudah dijangkiti virus berkenaan sejak 23 April.
Ini adalah 5.8% daripada jumlah kes di seluruh negara.
Dari jumlah tersebut 185 petugas kesihatan sudah pulih sepenuhnya sementara 137 masih dirawat.
Noor Hisham berkata kes tersebut melibatkan 77 pegawai perubatan diikuti jururawat (66), pegawai perubatan siswazah (34), pakar (23), penolong pegawai perubatan (21) dan 104 yang lain terlibat dalam perkhidmatan.
Bagaimanapun kesemua mereka tidak dijangkiti ketika merawat pesakit Covid-19.
“Berdasarkan siasatan kami penyebab jangkitan bukan kerana merawat pesakit Covid-19 di kemudahan kesihatan.
“Kami mendapati 70% kes dari kegiatan peribadi seperti menghadiri majlis, pergi ke luar negara dan sebagainya,” katanya. – 23 April, 2020.
Komen