PASAR Borong Kuala Lumpur akan meneruskan operasi esok selepas kerja sanitasi dijalankan walaupun kawasan berkenaan dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD).
Menteri Wilayah Persekutuan Annuar Musa berkata pasar berkenaan masih perlu mematuhi waktu operasi yang ditetapkan di bawah PKP.
“Pasar akan dibuka. Namun kawasan itu akan diletakkan di bawah kawalan ketat,” katanya kepada pemberita ketika ditemui di pasar berkenaan hari ini.
PKPD di kawasan berkenaan diisytiharkan pada Isnin menyebabkan kekeliruan kepada peniaga sayur dan pemborong, berikutan kawasan berkenaan ditutup dengan kawat berduri walaupun menteri memaklumkan ia akan dibuka.
Ia menyebabkan peniaga sayur-sayuran cuba mencari alternatif lain bagi mengedarkan hasil mereka kerana pasar berkenaan merupakan had utama perniagaan yang membekalkan sayur kepada pasar raya dan kedai runcit di sekitar Lembah Klang.
Annuar juga berkata, kerja-kerja sanitasi telah siap dan beliau menjangkakan semua pihak patuh dengan penjarakan sosial dan penjagaan kebersihan apabila pasat itu dibuka semula.
“Kita hanya tutup pasar selama empat hari, sehingga Khamis, agar kerja sanitasi boleh dijalankan di seluruh kawasan pasar.”
Enam kawasan di sekitar pasar berkenaan diletakkan di bawah PKPD sehingga 3 Mei.
Annuar berkata, kira-kira 17,000 penduduk dan pekerja di kawasan berkenaan akan diarahkan menjalani ujian saringan Covid-19. – 23 April, 2020.
Komen