KEMENTERIAN Wilayah Persekutuan akan memastikan semua rakyat Malaysia yang tertakluk di bawah Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di utara Kuala Lumpur akan menerima bekalan makanan secukupnya.
Warga asing juga akan diberi barangan keperluan asas, kata menterinya Annuar Musa, yang turut menafikan dakwaan pelarian Rohingya di kawasan berkenaan terputus bekalan makanan kerana mereka tidak diiktiraf kedutaan Myanmar.
“Saya mohon maaf kerana pada dua hari pertama (PKPD dilaksanakan) agihan bantuan adalah minima kerana kita menerima bekalan secara berperingkat.
“Kita telah memperbetulkannya dan penduduk akan menerima bantuan secukupnya,” katanya pada sidang media di Selayang hari ini.
Bantuan bekalan makanan akan diberikan kepada kira-kira 1,500 buah rumah di kawasan terlibat.
Manakala warga asing yang tinggal di 1,700 unit rumah di kawasan terbabit, akan diberikan bekalan keperluan asas menggunakan dana Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).
“DBKL akan gunakan peruntukan itu untuk membeli stok kepada warga asing.
“Kami akan berikan mereka bekalan asas seperti beras, dan barangan lain akan ditentukan nanti.
“Mereka juga dibenarkan memberi barangan keperluan lain di kedai runcit yang akan dibenarkan untuk dibuka,” kata Annuar merujuk kepada kedai di tingkat bawah bangunan apartmen di kawasan PKPD.
“Kita ada pegawai bertugas di kawasan berkenaan bagi memastikan pematuhan sepenuhnya terhadap langkah keselamatan.
“Sekiranya mereka gagal mematuhi garis panduan, kita akan tutup.”
Mengenai dakwaan pelarian Rohingya yang hampir kebuluran, Annuar berkata dakwaan berkenaan tidak benar.
“Kami berikan mereka bantuan atas dasar kemanusiaan. Bekalan makanan tidak akan dipotong,” katanya. – 23 April, 2020.
Komen