Tidak dibenarkan balik kampung sambut puasa, kata Ismail Sabri


Chan Kok Leong

Pihak berkuasa melakukan pemeriksaan di sekitar Kg Baru, Kuala Lumpur. Orang ramai tidak dibenarkan untuk pulang ke kampung bagi menyambut puasa sepanjang perintah kawalan pergerakan. – Gambar fail The Malaysian Insight, 23 April, 2020.

KERAJAAN tidak merancang untuk membenarkan penduduk di bandar untuk pulang ke kampung bagi menyambut puasa sepanjang perintah kawalan pergerakan (PKP), kata Menteri Kanan Ismail Sabri Yaakob.

“Apa yang diumumkan semalam, saya menyatakan hanya mereka yang terperangkap di kampung boleh berdaftar secara dalam talian atau di balai polis mulai 25 April ini untuk kembali semula ke bandar bukannya membenarkan orang ramai pulang ke kampung,” kata Menteri Pertahanan pada taklimat harian PKP hari ini.

Ismail Sabri menjelaskan salah faham mengenai permintaan orang ramai untuk melakukan perjalanan pulang ke kampung bagi menyambut puasa yang dijangka bermula esok. 

Beliau berkata kerajaan perlu mengetahui berapa ramai yang berhasrat melakukan perjalanan sebelum memutuskan sama ada akan membenarkan pergerakan tersebut.

Kerajaan baru-baru ini mengumumkan rancangan membenarkan 100,000 pelajar yang terkandas di pelbagai institusi pengajian tinggi pulang ke kampung halaman.

Bagaimanapun katanya sukar untuk menyelaraskan pergerakan orang ramai untuk pulang ke kampung.

“Pelajar sudah dikuarantin selama sebulan di kampus. Kita tahu sama ada mereka sakit atau dijangkiti. Tetapi kita tidak tahu sama ada mereka yang ingin pulang ke kampung dijangkiti atau tidak.

“Lebih-lebih lagi jika mereka kembali, mereka akan melakukan perjalanan secara berkumpulan dan itu dilarang di bawah PKP,” katanya. – 23 April, 2020.

Berita penuh di sini. 


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen