KADAR kes positif Covid-19 negara sekitar 5% menunjukan ujian dan langkah pengekangan secara bersasar berkesan, kata penasihat khas kesihatan awam perdana menteri Dr Jemilah Mahmood.
Kadar positif, dan bukan sekadar jumlah kes sahaja, membuktikan jika sesebuah negara melakukan ujian mencukupi bagi jangkitan koronavirus.
“Bagaimana kita tahu jika sesebuah negara melakukan ujian Covid yang mencukupi? Garis panduan WHO jelas. Bukan hanya angka tetapi juga kadar positifnya,” tulisnya di Twitter hari ini, merujuk kepada Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO).
“Bagi Malaysia, kadar ujian kes positif sekitar 5% adalah baik. Oleh itu, pengujian dan pengekangan yang disasarkan berkesan,” kata pengasas Mercy Malaysia itu, yang baru-baru ini dilantik sebagai penasihat kesihatan awam.
Sehingga semalam, Malaysia mempunyai 5,532 jangkitan tetapi selepas kematian dan pemulihan, hanya 1,987 kes yang aktif.
Data daripada Kementerian Kesihatan pada tengah hari semalam menunjukkan 118,967 individu sudah menjalani ujian, yang menjadikan kadar kes positif pada kadar 4.65%.
Ketua Pengarah kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah berkata, Malaysia mengambil pendekatan bersasar dengan melakukan pengesanan kontak rapat dengan kes Covid-19, mengasingkan orang yang kembali dari luar negara di pusat kuarantin dan ujian bersasar bagi komuniti di kawasan berlakunya kes kematian dan jangkitan.
Melalui pendekatan ini, Malaysia melaksanakan perintah kawalan pergerakan diperketatkan (PKPD) di enam kawasan untuk membolehkan ujian dari pintu ke pintu mereka yang tinggal di kawasan ini.
Dalam tweetnya, Jemilah memberi perhatian kepada sebuah artikel tentang bagaimana untuk mengetahui apakah ujian mencukupi sudah dilakukan.
Artikel NPR melaporkan pegawai WHO berkata kadar ujian positif Covid-19 yang tinggi menunjukkan terdapat lebih banyak jangkitan yang tidak dapat dikesan dalam kalangan masyarakat.
“Sekiranya 80-90% orang positif, anda mungkin terlepas banyak kes,” kata pengarah eksekutif program kecemasan kesihatan, Michael Ryan.
Kes positif hanya mengesahkan “kes ketara” yang bermaksud pihak berkuasa kesihatan tidak mendapat gambaran lengkap mengenai wabak virus.
Penanda aras WHO adalah satu kes positif bagi setiap 10 ujian yang dilaksanakan. – 23 April, 2020.
Komen