Putrajaya jangan tergesa-gesa tamatkan PKP, kata pakar


Chan Kok Leong

Penghantar makanan menjalani ujian saringan Covid-19 di Pejabat Daerah & Tanah Gombak di Selangor, semalam. Jumlah kes jangkitan baharu virus itu semakin menurun dalam minggu ini. – Gambar The Malaysian Insight oleh Nazir Sufari, 23 April, 2020.

PUTRAJAYA perlu berhati-hati dalam membuat keputusan untuk menarik balik perintah kawalan pergerakan (PKP) walaupun jumlah kes jangkitan baharu Covid-19 dilihat menurut dalam tempoh seminggu lalu, kata pakar.

Mereka memberi amaran, Malaysia patut mengambil pengajaran dari Singapura atau Sweden yang terpaksa melawan semula virus itu selepas merasakan sudah berjaya menamatkan virus itu dalam gelombang pertama.

“Saya tidak fikir kita harus lihat kepada meratakan lengkungan graf jangkitan dan meningkatkan aktiviti ekonomi sebagai kebimbangan utama,” kata felo penyelidik kanan Institut Penyelidikan Ekonomi Malaysia Dr Shankaran Nambiar kepada The Malaysian Insight.

“Ia tidak akan membantu dengan ada sebuah ekonomi tetapi ramai orang terjangkit dan kematian kerana ia akan membangkitkan pelbagai jenis kos dan kemusnahan.

“Mengutamakan ekonomi berbanding orang dan kesihatan, menyebabkan Singapura dan Sweden terpaksa berpatah balik.”

Nambiar berkata Malaysia dapat banyak hasil berguna menerusi lanjutan PKP dari 18 Mac hingga 28 April, tetapi keputusan untuk melanjutkannya lagi perlu diserahkan kepada pakar perubatan dan epidemiologi, bukan pakar ekonomi semata-mata.

PKP dikuatkuasakan pada 18 Mac untuk menghentikan rantaian jangkitan Covid-19 yang setakat ini membabitkan 5,532 kes dan 93 kematian.

Lanjutan PKP fasa tiga akan berakhir pada Rabu depan, kecuali jika kerajaan memutuskan untuk melanjutkannya lagi hingga Mei.

Data Kementerian Kesihatan Malaysia menunjukkan penurunan kes aktif daripada 2,427 (14 April) kepada 1,987 (22 April), dengan kes baharu turun kepada angka dua digit dan jumlah pesakit pulih lebih tinggi berbanding kes jangkitan baharu.

Pekerja Alam Flora melakukan semburan basmi kuman di pasar Selayang, Kuala Lumpur bagi mencegah penularan wabak Covid-19. – Gambar The Malaysian Insight oleh Afif Abd Halim, 23 April, 2020.

Ancaman Covid-19 belum berakhir

Pakar epidemiologi Universiti Malaya Prof Dr Awg Bulgiba Awg Mahmud berkata statistik semakin baik untuk Malaysia itu adalah hasil daripada pertambahan ujian yang dilakukan untuk semua ujian tertangguh.

“Ujian yang tertangguh mungkin punca kepada peningkatan kes positif dalam minggu sebelumnya, tetapi sebaik saja semua ujian selesai dilakukan, jumlah sebenar kes jangkitan setiap hari dapat dilihat,” katanya kepada The Malaysian Insight.

Pakar perubatan pencegahan dan sosial UM itu berkata PKP juga menyekat kontak seseorang, membawa kepada penguranan jumlah jangkitan.

“Ini menjadi bukti sebaik saja semua ujian tertangguh selesai dilakukan. Dua faktor ini menyebabkan jumlah kes baharu menurun,” kata  Dr Awg Bulgiba.

Tetapi beliau percaya ancaman Covid-19 hanya berkurangan, tetapi belum berakhir lagi.

“Penurunan dalam kadar jangkitan berlaku tetapi jangkitan masih ada dan mungkin masih menjangkiti orang dalam masyarakat yang boleh berjangkit kepada orang lain.”

Katanya, sama ada PKP akan dilanjutkan atau tidak, akan bergantung kepada jumlah jangkitan dalam tempoh beberapa hari lagi.

“Jika jumlah kes pulih berterusan mengatasi kes baharu untuk tempoh seminggu akan datang, kerajaa mungkin pertimbangkan melonggarkan beberapa sekatan, tetapi saya tidak rasa sekatan akan ditarik balik serta merta,” katanya. – 23 April, 2020.

Berita penuh di sini.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen