DR Mahathir Mohamad jelas kelihatan gelisah ketika ditanya pada forum beliau malam tadi sama ada beliau akan menggunakan undang-undang yang menindas seperti Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) jika berkuasa lagi.
Ia membabitkan persoalan mengenai tindakan keras polis melalui Operasi Lalang (Ops Lalang), yang berlaku 30 tahun lalu semasa pemerintahan Dr Mahathir.
Bekas perdana menteri itu menegaskan: “Tiada sesiapa yang susah hati apabila Tunku Abdul Rahman, Tun Hussein Onn, Tun Razak menggunakan undang-undang itu, jumlah orang yang ditahan pada masa mereka memerintah lebih ramai. Mengapa mereka tidak diserang?” soal beliau.
Dr Mahathir memberitahu hadirin yang perdana menteri pertama Malaysia, Tunku Abdul Rahman pernah menahan 2,000 orang di bawah ISA, Tun Abdul Razak 2,000, Tun Hussein Onn 4,000, manakala hanya 1,200 ditahan di bawah pentadbirannya.
Beliau bercakap kepada kira-kira 250 pemuda pada acara melibatkan golongan itu di Petaling Jaya malam tadi. Turut hadir ialah Lim Kit Siang.
Seorang penonton bertanya mengenai Ops Lalang: “Kenapa Tun membenarkan Operasi Lalang berlaku pada 1987? Sekiranya anda kembali ke masa itu, adakah tindakan anda akan berbeza, setelah melihat reaksi daripada keluarga daripada mereka yang ditahan?”
106 aktivis dan ahli politik ditangkap di bawah ISA semasa Ops Lalang kerana didakwa menjadi ancaman kepada negara.
Dalam temu bual baru-baru ini dengan The Malaysian Insight sempena ulang tahun ke-30 tindakan keras itu, bekas perdana menteri itu mengatakan beliau tidak bertanggungjawab terhadap operasi itu.
Dr Mahathir berkata beliau memberitahu polis supaya tidak menahan pemimpin dan aktivis politik, tetapi pegawai kanan polis menegaskan ia perlu dilakukan.
Malam tadi, Dr Mahathir, yang kini menjadi pengerusi Pakatan Harapan (PH) berkata beliau akan mengikut nasihat polis sekiranya keadaan yang sama berlaku sekarang.
“Ya, saya akan mengikut nasihat polis, seperti yang saya lakukan 30 tahun lalu,” katanya.
“Keselamatan adalah tanggungjawab polis. Kita tidak boleh memberitahu mereka apa yang perlu dilakukan kerana ia seolah-olah seperti kita cuba memberitahu bagaimana untuk melakukan kerja mereka.”
Beliau mengulangi polis memberitahunya bahawa rusuhan kaum akan berlaku jika penangkapan itu tidak dibuat.
“Polis memberitahu saya ini, malah pemimpin Umno pada masa itu, Ibrahim Ali, juga ditangkap.
“Jika anda mahu menyalahkan saya kerana ini, teruskan, ia sudahpun berlaku,” katanya.
Beliau menambah ia merupakan perbuatan tidak bertanggungjawab jika beliau tidak bertindak atas nasihat polis.
Dr Mahathir menjawab kira-kira 15 soalan daripada belia yang beratur di depan mikrofon sebaik sahaja beliau tiba.
Tetapi soalan paling penting ialah berkenaan Ops Lalang dan penangkapan timbalannya, Anwar Ibrahim.
Seorang peserta bertanya sama ada Dr Mahathir mempertahankan tindakannya terhadap Anwar pada 1998 yang menyaksikan Anwar dipecat sebagai timbalan perdana menteri.
Dr Mahathir berkata beliau mengabaikan aduan mengenai Anwar selama tiga tahun sebelum memecatnya.
Beliau berkata tindakan itu hanya diambil selepas Umno memutuskan Anwar tidak lagi layak menyertai parti itu atau menjalankan tugasnya sebagai timbalan perdana menteri.
“Selain itu, saya tidak terlibat dalam tindakan polis, tetapi sudah tentu anda tidak akan percaya,” katanya kepada hadirin.
Beliau juga berkata undang-undang keselamatan semasa – Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah Khas), Pencegahan Akta Keganasan dan Pencegahan Akta Jenayah – yang diperkenalkan oleh Perdana Menteri Najib Razak lebih teruk berbanding ISA.
“Tetapi tiada siapa yang merungut,” katanya. – 22 November, 2017.
Komen